Cuepacs sokong syor PM tahan kenaikan pangkat jika tak lapor rasuah

Adnan - Foto Bernama
Adnan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syor Perdana Menteri supaya ketua jabatan tidak dinaikkan pangkat jika terdapat pelanggaran tadbir urus dan integriti melibatkan jabatan atau unit diselia yang tidak dilaporkan atau diambil tindakan sewajarnya, perlu dilihat sebagai langkah memastikan perkhidmatan awam sentiasa berada pada tahap terbaik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata, saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu meletakkan suatu tanggungjawab kebersamaan dalam setiap peringkat jawatan di sesebuah jabatan untuk memastikan tadbir urus dilaksanakan dengan baik dan berkesan tanpa pelanggaran integriti.

"Syor ini sekiranya dilaksanakan kelak, akan melahirkan penjawat awam yang sentiasa cakna terhadap tanggungjawab dan amanah yang digalas terutama dalam memastikan jabatan yang diselia sentiasa melaksanakan tadbir urus yang terbaik.

"Salah laku dalam perkhidmatan awam adalah suatu perkara yang amat ditegah termasuklah amalan menyembunyikan salah laku itu. Tidak wajar pihak yang mempunyai kuasa menyembunyikan pelanggaran tadbir urus hanya semata-mata untuk menjaga nama baik sendiri atau individu tertentu. Perkara ini hanya akan memburukkan lagi keadaan dan tidak menyelesaikan permasalahan yang berlaku," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Perdana Menteri yang membuat syor itu ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun di Putrajaya hari ini antara lain berkata, agak mustahil bagi ketua jabatan atau ketua unit 'tidak tahu' atau menutup mata mengenai wujudnya kecurangan dalam pentadbiran masing-masing.

Mengulas lanjut Adnan berkata, pembaharuan yang mahu dilaksanakan oleh Anwar itu tidaklah menggambarkan salah laku yang tinggi dalam perkhidmatan awam tetapi ia sebagai suatu usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan awam ke arah yang lebih baik.

"Secara asasnya Cuepacs mengambil perhatian serius akan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, namun Cuepacs yakin ia hanya melibatkan segelintir kumpulan ketua jabatan yang tidak ambil peduli dengan isu salah guna kuasa dan rasuah di kalangan kakitangan mereka.

"Ia sewajarnya menjadi satu tanggungjawab besar yang perlu dimainkan di peringkat ketua jabatan dalam memantau dan memastikan tiada salah laku dalam jabatan masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adnan turut menyentuh proses semak dan imbang perlu menjadi sebagai panduan dan budaya dalam melahirkan amalan tegur menegur serta memberi hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan, demi menjaga nama baik perkhidmatan awam keseluruhannya.

"Pendekatan hukuman kepada ketua jabatan adalah sesuatu yang dilihat wajar, namun ia perlu diteliti dengan sebaik mungkin bagi memberi keadilan kepada semua pihak," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!