Isu trafik, kawasan pembangunan di Cameron Highlands perlu lebih perhatian - Sultan Pahang
CAMERON HIGHLANDS - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar masalah trafik sesak dan status pembangunan di Cameron Highlands perlu diberi perhatian sewajarnya.
Titah tuanku, ia penting kerana kawasan tanah tinggi ini sentiasa menjadi tumpuan jutaan pelancong dari dalam dan luar negara saban tahun yang mahu menikmati keistimewaannya.
"Saya berada di sini (lawatan kerja) untuk melihat keadaan sekeliling. Saya dapati tempat ini cantik dan sejuk, tetapi sayangnya trafik terlalu sibuk. Kita harap dapat usaha lagi untuk menambah bilangan jalan dan membesarkan jalan malah trafik juga perlu dikawal (pihak berkuasa) dengan baik.
"Pembangunan juga perlu dikawal..tidak boleh sewenang-wenangnya memotong bukit atau lereng bukit. Masalah air dan elektrik setiap rakyat di kawasan inj juga perlu diambil kira dan kita perlu ambil kaedah mana sekalipun untuk menangani isu ini.
"Begitu juga dengan alam semula jadi, pagi tadi saya berkesempatan pergi ke Parit Falls (Taman Eco Rimba Parit Falls). Saya ingin meminta pihak kerajaan mencari kaedah baru untuk menjaga warisan khazanah itu. Ini adalah salah satu usaha penting dan perlu dilaksanakan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Hadiah 26th Cameron Highlands Amateur Open Golf Championship 2024 di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah, hari ini.
Baginda berada di Cameron Highlands selama lima hari sejak Jumaat lalu bagi lawatan kerja di sekitar daerah berkenaan selain bertemu langsung dengan rakyat.
Berangkat sama, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Dalam pada itu baginda menzahirkan rasa gembira dengan tarikan istimewa Kelab Golf Sultan Ahmad Shah di sini yang menjadi pilihan pemain dari dalam dan luar negeri
"Saya lihat ia (kelab) dikawal dan dijaga dengan baik dari segi kebersihan dan kecantikan padang. Ini boleh menarik pelancong bermain golf sekaligus menjadi tarikan eko-pelancongan sukan," titah baginda.
Kejohanan yang diadakan dua tahun sekali ini menyaksikan penyertaan 128 peserta yang terpilih bersaing mendapatkan gelaran terbaik dalam dua kategori yang dipertandingkan selama tiga hari ia berlangsung iaitu pada 8 hingga 10 Jun.
Turut hadir, Presiden Kelab Golf Sultan Ahmad Shah yang juga Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanuar Alyahya Syed Abdul Rahman dan Kapten Kelab Golf, Dato' Sri Vinod Kumar Agarwal.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!