Kerajaan sasar peningkatan kapasiti katil di hospital - Dzulkefly
SHAH ALAM - Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti katil kepada nisbah 2.06 berbanding 1,000 pesakit pada Rancangan Malaysia Ke-12.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan statistik pada 2020, jumlah katil di hospital di Malaysia adalah sebanyak 65,508 dengan nisbah dua katil untuk setiap 1,000 pesakit.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berusaha mengoptimumkan penggunaan katil menerusi penawaran rawatan harian di hospital-hospital utama dan pendigitalan bed management unit (BMU) secara berpusat.
“Langkah inovatif seperti ini amatlah perlu kerana kerajaan tidak mampu berbelanja lebih akibat kekangan fiskal,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pecah Tanah Bangunan Tambahan di Hospital Pakar Avisena, di sini pada Isnin.
Selain itu, Dzulkefly memaklumkan penawaran perkhidmatan yang selamat dan berkualiti tersebut juga akan menyumbang kepada peningkatan reputasi kukuh negara ini sebagai destinasi pelancongan kesihatan.
Katanya lagi, trend peningkatan pelawat dari seluruh dunia sangat baik untuk lebih 10 tahun kebelakangan ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!