Individu tanpa identiti ditemui rentung dalam kereta terbakar
BAGAN SERAI - Individu tanpa identiti ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di hadapan bangunan kosong berhampiran tanah perkuburan Cina dekat sini pada Isnin.
Panggilan berhubung insiden kebakaran itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai pada jam 2.05 petang membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati, kenderaan yang diparkir itu telah musnah terbakar 50 peratus.
"Pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat seorang mangsa telah rentung di kerusi pemandu.
"Jantina mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan yang telah terbakar," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat pada jam 2.42 petang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff ketika dihubungi memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti mangsa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!