Enam calon akhir, siapa bakal pengganti Ebrahim Raisi?
TEHERAN - Kementerian Dalam Negeri Iran mengeluarkan senarai nama enam calon yang bakal bersaing pada Pilihan Raya ke-14 dijadualkan pada 28 Jun ini.
Jurucakapnya, Mohsen Eslami pada Ahad mengumumkan nama kesemua calon yang telah disemak kelayakan dan diluluskan Majlis Perlembagaan, sebuah badan penyeliaan yang dibarisi 12 anggota.
Difahamkan, mereka yang akan bertanding ialah Speaker Parlimen, Mohammad Baqer Qalibaf, bekas ketua perunding nuklear, Saeed Jalili. Datuk Bandar Teheran, Alireza Zakani, bekas Menteri Kehakiman, Mostafa Pourmohammadi, Ketua Yayasan Para Syuhada dan Hal Ehwal Veteran, Amir Hossein Qazizadeh Hashemi dan bekas Menteri Kesihatan, Massoud Pezeshkian.
Keenam-enam itu adalah enam calon akhir yang disenarai pendek daripada 80 nama yang menghantar permohonan.
Pilihan Raya Presiden itu diadakan bagi melantik pengganti Ebrahim Raisi yang terkorban dalam tragedi helikopter di barat laut Teheran pada 19 Mei lalu.
Kesemua mereka diberi tempoh untuk berkempen selama dua minggu bagi membentangkan manifesto dan mengambil bahagian dalam sesi debat yang akan disiarkan menerusi stesen TV. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!