MyCC kerjasama rapat dengan KPDN, MOF kenal pasti kegiatan kartel
SHAH ALAM - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan bekerjsama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) bagi mendapatkan data penting berkait kegiatan kartel dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, MyCC akan terus memantau dengan teliti sebarang tingkah laku syarikat yang mengamalkan kaedah anti-persaingan.
"Tindakan tegas dikenakan terhadap syarikat yang terlibat dalam tingkah laku kartel atau pakatan harga hingga menjejaskan integriti pasaran serta pelaksanaan subsidi bersasar.
"Kami akan bertindak tanpa rasa gusar atau pilih kasih terhadap 'pemain' di peringkat rantaian bekalan yang menunjukkan tanda-tanda menghalang, menyekat atau mengganggu-gugat persaingan dalam pasaran untuk barangan dan perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.
Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism' dan semua peraturan sedia ada berkaitan penjualan diesel masih berkuat kuasa dan terpakai.
Menurut beliau, bagi tempoh seterusnya harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa MOF.
Susulan daripada itu, Iskandar memaklumkan bahawa sumber khas telah didedikasikan kepada MyCC bagi menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 terhadap pihak yang terlibat dalam tingkah laku sabotaj ekonomi berkaitan.
"MyCC mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau laporan daripada pengguna dan syarikat. Mereka boleh berbuat demikian melalui laman web kami di www.mycc.gov.my atau melalui sebarang cara lain yang mudah untuk mereka," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!