Empat hari padam kebakaran tapak pelupusan sampah
BESUT - Anggota bomba mengambil masa hampir empat hari untuk memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Kampung Paya Rawa, di sini yang berlaku sejak Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, kebakaran itu dapat dikawal dan dipadamkan dengan kekuatan 25 anggota dan pegawai bomba termasuk dibantu oleh pihak syarikat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Majlis Daerah Besut (MDB).
"Kebakaran ini telah merebak bermula daripada satu hektar kepada 1.9 hektar dalam tempoh beberapa hari, namun berjaya dikawal daripada terus merebak.
"Kita berjaya menyelamatkan empat hektar daripada keseluruhan enam hektar kawasan ini daripada turut terbakar," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan dan pemantauan berterusan terus dijalankan bagi mengesan sekiranya berlaku kebakaran baharu.
"Orang ramai diminta agar tidak melakukan pembakara terbuka bagi mengelak berlaku kebakaran berskala besar," ujarnya.
Jumaat lalu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 3.50 petang berhubung kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira satu hektar di pusat pelupusan sampah berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!