Tekanan lebih daripada jangkaan - Pan-gon

Pan-gon
Pan-gon
A
A
A

PENGENDALI skuad bola sepak negara, Kim Pan-gon sekali lagi mendedahkan tentang tekanan besar yang dihadapinya dalam membimbing Harimau Malaya sejak mengambil alih tugas pada Januari 2022.

Menjelang pertemuan penting menentang Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok, pengendali berusia 55 tahun dari Korea Selatan itu berkata, tekanan yang dialaminya kini lebih besar daripada jangkaan.

Bekas pengarah pasukan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu berkata, tekanan itu semakin meningkat setiap hari dan setiap kali dia mencapai sesuatu dengan pasukan.

“Tekanan ini lebih daripada jangkaan dengan barisan kejurulatihan banyak menyumbang perkara baik.ke arah mengubah falsafah pasukan kebangsaan, mencorak ciri-ciri pasukan dan kadar kemenangan perlawanan di laman sendiri jauh lebih tinggi daripada sebelumnya.

“Kami layak secara merit ke Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh lebih 40 tahun dan mencabar kelayakan Piala Dunia sehingga saat terakhir. Persekitaran seperti ini kita sediakan kepada negara di sini tetapi tidak menjangkakan lebih banyak tekanan dari semasa ke semasa,

“Dari hari pertama saya di sini, sokongan sangat baik, semua orang menyokong, segala yang saya minta disediakan. Tetapi, dari semasa ke semasa, apabila saya mencapai sesuatu....saya tidak tahu sama ada ia negatif...inilah yang saya rasa,” katanya pada sidang media praperlawanan Malaysia-Taiwan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Isnin.

Bagaimanapun Pan-gon menegaskan mereka akan berjuang dalam apa jua keadaan tanpa berputus asa atau rasa gementar dan meneruskan semangat untuk terus maju ke hadapan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan Korea Selatan berhubung cabaran yang dihadapinya sebagai jurulatih asing di sini termasuk terpaksa berdepan dengan harapan tinggi yang disandarkan kepada Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Ini adalah kali kedua dalam tempoh enam bulan Pan-gon membuat kenyataan mengenai tekanan yang dihadapinya dengan pasukan kebangsaan dengan pertama kali semasa sidang media praperlawanan menjelang pertemuan terakhir kumpulan E Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan di Doha, Qatar, Januari lalu.

Harimau Malaya menyasarkan untuk meraih kemenangan besar menentang Taiwan esok untuk menghidupkan semula peluang untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak awal ke Piala Asia 2027.

Malaysia kini berada di tempat ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata - tiga mata di belakang pasukan tangga kedua Kyrgyzstan yang juga mempunyai kelebihan perbezaan gol menjelang perlawanan terakhir, manakala Oman mengungguli kumpulan dengan 12 mata dan melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan, Malaysia dalam keadaan bolos dua gol (-2) akan melayan Taiwan, manakala Kyrgyzstan dengan kelebihan enam gol ( 6) gol akan bertandang ke Muscat untuk menentang Oman.

Sekiranya gagal mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia perlu bersaing di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 untuk peluang membuat penampilan kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!