Bimbang kenaikan harga diesel beri kesan domino
KENAIKAN harga diesel yang mendadak dibimbangi memberi kesan domino terhadap industri atau ekonomi negara kerana kebanyakan sektor utama bergantung dengan bahan api tersebut untuk operasi harian.
Rakyat kini sudah sedia terbeban dengan perbelanjaan harian yang tinggi dan situasi tersebut akan bertambah parah jika ada pihak yang menaikkan harga bagi menampung kos operasi.
Kebanyakan barang mungkin akan mengalami peningkatan harga terutamanya barang keperluan dalam tempoh terdekat ini.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Ling Tian Soon berkata, pengumuman mengejut itu dilihat sebagai pelaksanaan yang tergesa-gesa dan membawa kesan negatif kepada rakyat.
Ujarnya, tindakan tersebut dibuatkan pada 9 Jun iaitu 13 hari selepas pendaftaran Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) dibuka dan hanya 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan.
Menurut beliau, anggaran sebenar yang layak menerima subsidi adalah 410,000 orang, jadi daripada jumlah tersebut hanya 7.3 peratus yang berjaya.
Katanya, masa yang singkat bagi pelaksanaan Budi Madani akan mendatangkan kesan yang besar kerana pemilik kenderaan diesel tidak mendapat bantuan tetapi perlu menampung kos pengangkutan dan perjalanan meningkat.
Tambah Tian Soon, kerajaan perlu mempertimbangkan semula tempoh permohonan bantuan berkenaan bagi memberi peluang kepada rakyat untuk menyelesaikan urusan berkaitan.
Dalam pada itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenaikan harga diesel secara mendadak hanya akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelosok negara dan menyebabkan kesan gandaan kepada sektor ekonomi dan sosial lain.
Ujar Muhyiddin, beban itu jika ditaksir mungkin kosnya kepada rakyat adalah jauh lebih besar daripada RM4 bilion yang dapat dijimatkan melalui penyasaran subsidi.
Muhyiddin turut menzahirkan rasa sedih apabila mengenangkan bebanan yang ditanggung rakyat dengan pengumuman kerajaan mengenai penetapan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin.
Turut menyuarakan kebimbangan, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff yang berpendapat rakyat mungkin belum bersedia untuk menerima penarikan subsidi diesel yang diumumkan dalam tempoh singkat.
Menurutnya, penarikan subsidi bahan api itu akan mengundang kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain berkaitan kerana ia akan membebankan pengguna diesel khususnya mereka yang tidak layak menerima subsidi.
Secara keseluruhannya, kebimbangan terhadap kenaikan harga diesel mendadak ini sedang membelenggu banyak pihak kerana kemungkinan peningkatan kos sara hidup boleh berlaku dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, kerajaan sudah pasti mempunyai solusi terbaik untuk membantu rakyat dalam mendepani masalah tersebut dan diharapkan tiada satu golongan pun yang tercicir.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!