'Gaza tidak akan melupakan atau memaafkan'

Penduduk Palestin memeriksa kesan kemusnahan akibat bedilan ganas dilancarkan IDF di kem Nuseirat di tengah Gaza.
Penduduk Palestin memeriksa kesan kemusnahan akibat bedilan ganas dilancarkan IDF di kem Nuseirat di tengah Gaza.
A
A
A

DEIR AL-BALAH – Semalam adalah hari 'biasa'. Saya berasa seperti tercampak ke dalam lubang neraka, perang semakin ganas dan keadaan sekeliling huru-hara dengan hujan bom dan api marak di sana sini.

Malam sebelumnya, tembakan artileri dilancarkan ke seluruh tengah Gaza dari timur Bureij dan Deir al-Balah hingga ke Maghazi.

Pada jam kira-kira 11 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu, saya sedang menikmati sarapan pagi bersama anak saya sebelum menuju ke Hospital al-Aqsa untuk mendapatkan bahan berita apabila segalanya bertukar menjadi malapetaka.

Rejim Zionis melancarkan serangan dari pelbagai arah termasuk udara bersama unit kereta kebal hingga menggegar rumah kami. Mereka membedil kediaman di Deir al-Balah.

Ketakutan menyelubungi kami. Patutkah kami melarikan diri atau hanya berlindung di rumah?

Berita terbaharu melaporkan sesuatu berlaku di Nuseirat, namun kempen pengeboman diperhebatkan di kawasan ini malah kami juga mendengar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengarahkan pemindahan segera dari al-Aqsa.

Saya bersyukur kerana tidak berada di sana, namun saya dapat membayangkan apa yang sedang terjadi di kemudahan tersebut yang menjadi tempat berlindung keluarga hilang tempat tinggal dan khemah sementara petugas media.

Ia satu-satunya kompleks perubatan di tengah Gaza yang masih beroperasi dan mengendalikan jumlah korban yang terus bertambah setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Apakah nasib yang menanti mereka?

Pada ketika itu, ratusan penduduk yang hilang tempat tinggal mula melarikan diri dalam keadaan panik tanpa hala tuju di sekitar Deir al-Balah.

Di tengah-tengah kekecohan, tangisan dan jeritan bercampur baur, satu soalan kolektif timbul, apa lagi perlu dihadapi oleh kami?

Realitinya adalah suram dengan laporan media asing bercanggah daripada situasi sebenar.

Ada laporan yang mendakwa tentang kempen pencerobohan darat di Nuseirat, ada yang mendakwa unit khas menggempur sebuah rumah di pasar Nuseirat.

Hakikatnya, bedilan, tembakan dan serangan udara berterusan.

Saya cuba menghubungi rakan petugas media lain yang telah berpindah dari al-Aqsa, namun tidak berjaya.

Pelbagai andaian berlegar-legar dalam fikiran saya dan kemudiannya saya sedar operasi darat yang dicanangkan mungkin sudah bermula.

Saya mula mendapatkan barang penting dan dimasukkan ke dalam beg.

Abang saya yang telah berpindah ke Mesir, dua bulan lalu turut menelefon kerana bimbang dengan keselamatan kami.

Kempen pengeboman itu berlarutan selama kira-kira dua jam dan media Israel kemudiannya melaporkan kononnya operasi itu bertujuan untuk membebaskan empat tawanan yang ditahan sejak 7 Oktober lalu.

Tidak lama selepas itu, keadaan kembali tenang dan tiada lagi bunyi tembakan atau bedilan.

Operasi dilancarkan IDF yang sudah berakhir meninggalkan mayat bergelimpangan bersama cebisan tubuh termasuk kanak-kanak manakala mangsa cedera dikejarkan ke hospital.

Angka korban kezaliman rejim Zionis selama tempoh dua jam tersebut mencecah 274 orang selepas disahkan Pejabat Media Gaza.

Maram Humaid
Maram Humaid

Detik mengerikan

Persoalan yang meruntun jiwa untuk dijawab adalah, berbaloikah membunuh lebih 200 orang kerana mahu bebaskan empat tawanan Israel?

Hati saya berasa berat, kecewa dan sedih melihat tragedi tersebut dengan mangsa terselamat mengalami trauma.

Komunikasi terputus. Saya tidak dapat menghubungi sesiapa pun yang terpaksa berpindah dari Rafah ke Nuseirat.

Suami saya bagaimanapun menerima panggilan memaklumkan isteri bapa saudaranya dan sepupunya terkorban dalam serangan itu.

Beberapa jam kemudian, saya melihat catatan beberapa rakan di media sosial, masing-masing menceritakan detik mengerikan itu.

“Saya tidak percaya dengan apa yang saya alami pada hari ini. Sebuah helikopter Apache Israel yang berlegar-legar di ruang udara secara tiba-tiba mula melepaskan tembakan ke arah khemah sementara penduduk. Kami terpaksa lari untuk menyelamatkan diri seakan-akan ia adalah Hari Pengadilan,” menurut perkongsian Nour yang juga seorang guru di bawah sekolah kendalian Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Kisah kami hampir sama. Saya tidak terkecuali melihat pengeboman di sana sini dan kematian pada setiap masa.

Lamunan saya terhenti dengan pertanyaan anak saya, Baniyas yang senantiasa berlinangan air mata.

“Mama, adakah mereka akan tiba di Deir al-Balah? Adakah bunyi itu masih jauh?” soalnya.

Meskipun tidak tahu dengan nasib kami pada masa akan datang, saya tetap cuba menenangkan Baniyas.

Unit kereta kebal IDF terus melancarkan serangan menggila di seluruh Genting Gaza.
Unit kereta kebal IDF terus melancarkan serangan menggila di seluruh Genting Gaza.

Laporan media juga agak berat sebelah dan memuji kejayaan IDF kerana berjaya membebaskan kesemua tawanan itu, namun bagaimana pula dengan tragedi yang menimpa 274 mangsa terkorban?

Adakah mereka hanya angka? Adakah nyawa mereka tidak berharga? Tawanan Israel lebih penting? Mengapa dunia tidak melihat dan merasai penderitaan kami?

Adakah terdapat 'usaha bersama' untuk menghapuskan kami? Kami juga tidak pernah percaya dengan peranan Amerika Syarikat (AS).

Kami menderita kelaparan, dihujani bom hampir setiap hari, semata-mata menunggu trak bantuan dari koridor maritim disediakan Washington yang kemudiannya digunakan untuk serangan hendap bagi operasi membebaskan tawanan Israel.

Dunia terus melindungi Israel dan berpaling kepada Palestin malah ada pihak yang bergembira di atas kesengsaraan kami.

Kami dilabel sebagai pengganas ketika pembunuhan tanpa sebarang halangan atau sekatan oleh komuniti antarabangsa berlaku hampir setiap minit.

Laporan situasi di Gaza dan statistik sepanjang lapan bulan lalu hanya sia-sia.

Ya Tuhanku, kami berserah kepada-Mu atas pengkhianatan dan tindakan membisu dunia serta tekanan berterusan diberikan kepada kami.

Ingatlah tentang satu perkara, Gaza tidak akan melupakan atau memaafkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!