Kisah abang baju singlet, tauke 'black belt'

Tangkap layar video kejadian yang tular di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya pada 3 Jun lalu.
Tangkap layar video kejadian yang tular di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya pada 3 Jun lalu.
A
A
A

WARNA putih melambangkan keharmonian dan keseimbangan dalam penyatuan. Warna putih juga dianggap sebagai simbol kesucian dan kemurniaan hati seseorang itu.

Individu yang menggemari warna putih mempunyai keperibadian yang suka membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.

Namun, lain pula kisahnya dengan dua lelaki di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi video tersebut, kedua-dua lelaki berkenaan yang sama-sama memakai baju berwarna putih didapati saling membuat provokasi selain mengajak untuk bertumbuk 'one by one' sambil diperhatikan oleh pelanggan lain.

Merak Jalanan geleng kepala kerana situasi tersebut sepatutnya dapat diselesaikan secara diplomasi, namun diselesaikan dengan kekasaran.

Lebih teruk lagi, pergaduhan antara ‘abang baju singlet’ dan tauke ‘black belt’ tidak dileraikan orang ramai dari awal atas dasar selesai secara 'gentlemen'.

Sebahagian besar netizen memuji sikap 'gentlemen' kedua-dua lelaki itu, namun bagi Merak Jalanan ia bukanlah sikap yang patut dicontohi.

Apa pun, kedua-duanya sudah ditahan bagi membantu siasatan dan salah seorang suspek iaitu ‘abang baju singlet’ juga sudah membuat permohonan maaf di TikTok.

Artikel Berkaitan:

Dalam video penjelasan di TikTok, lelaki tersebut mengaku mempunyai tali pinggang hitam seni bela diri karate namun mengakui tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri pada ketika itu berikutan dia dalam keadaan mabuk.

Difahamkan, pemilik premis berkenaan juga memiliki tali pinggang hitam dalam taekwondo yang membuatkannya tidak gentar untuk berhadapan dengan lelaki singlet putih itu.

Apa pun, Merak Jalanan ingin berpesan, selesaikanlah perselisihan faham secara diplomasi bukan dengan kekasaran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!