Simpanan persaraan lesap disapu 'scammer'

Seramai 5,533 warga emas menjadi mangsa penipuan secara dalam talian dengan nilai kerugian lebih RM500 juta sejak 2021 hingga tahun lalu. Gambar hiasan
Seramai 5,533 warga emas menjadi mangsa penipuan secara dalam talian dengan nilai kerugian lebih RM500 juta sejak 2021 hingga tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

REALITI Malaysia bakal mendekati status negara tua menjelang 2030, bukan lagi sekadar cakap kosong semata-mata.

Perkara itu disokong menerusi laporan Jabatan Statistik Malaysia apabila peratusan penduduk dikategorikan sebagai warga emas (berumur 65 tahun dan lebih) telah meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding 7.0 peratus (2021).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkata, Malaysia dijangka beralih daripada Negara Menua kepada Negara Tua dengan 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas dalam tempoh 23 tahun.

Ujar beliau yang juga Menteri Kewangan, sudah tiba masanya untuk negara melakukan reformasi terhadap rangka kerja pencen dan persaraannya bagi memastikan keselamatan kewangan, ekuiti untuk semua rakyat Malaysia.

Inisiatif kerajaan dalam memperkasakan sistem pencen demi jaminan persaraan yang selesa untuk rakyat seharusnya wajar disambut baik oleh semua pihak.

Sama ada duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pencen kerajaan, kedua-duanya memainkan peranan sama iaitu sebagai persediaan untuk menghadapi hari tua kelak.

Namun begitu, apa yang ingin ditekankan bukan tentang menjaga simpanan wang hari tua, tetapi ada yang lebih penting diberi keutamaan iaitu aktiviti sindiket penipuan atau lebih dikenali scammer dalam talian.

Pada Jun tahun lalu dilaporkan seramai 22,000 pesara kerajaan direkodkan menjadi mangsa penipuan scammer yang menggunakan wang simpanan persaraan mereka sebagai modus operandi utama.

Artikel Berkaitan:

Menerusi rekod mangsa penipuan, jumlah kerugian terkumpul yang dicatatkan ialah sebanyak RM850 juta.

Sementara Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pula mendedahkan seramai 5,533 warga emas menjadi mangsa penipuan secara dalam talian dengan nilai kerugian lebih RM500 juta sejak 2021 hingga tahun lalu.

Jumlah 6.4 peratus itu daripada 86,266 mangsa penipuan dalam talian yang dilaporkan bagi tempoh sama membabitkan jumlah kerugian RM2.7 bilion.

Trend yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini di mana daripada 11,918 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga 19 Mei lalu, seramai 990 mangsa atau 8.3 peratus adalah warga emas.

Tidak mustahil angka mangsa di negara ini boleh terus meningkat pada tahun seterusnya. Bayangkan simpanan persaraan ratusan ribu ringgit yang susah payah dikumpul sejak waktu muda dahulu boleh hilang sekelip mata sahaja.

Akibatnya mangsa terpaksa bekerja demi menampung keperluan harian mereka memandangkan simpanan hasil titik peluh mereka telah hilang sekelip mata.

Isu melibatkan jenayah scammer tidak boleh dipandang mudah oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi dalam era dunia siber masa kini.

Aktiviti penipuan scammer pada hari ini semakin licik dalam menipu mangsa terutamanya warga emas.

Justeru, kerajaan perlu memainkan peranan proaktif dalam menangani isu berkenaan bagi menjaga dan melindungi kebajikan mangsa-mangsa scammer.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dilaporkan berkata, kerajaan sedang merangka akta baharu bagi meningkatkan keselamatan digital dan membanteras penipuan dalam talian seiring perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menerusi Rang Undang-Undang (RUU) baharu itu nanti, beliau menjelaskan, pihak bank tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab sekiranya didapati menjadi punca kepada kes penipuan dalam talian.

Diharapkan akta menangani jenayah scammer segera dibentangkan bagi menghapuskan aktiviti-aktiviti sindiket yang mengaut keuntungan hasil daripada wang simpanan orang ramai.

Pada masa yang sama, kempen kesedaran juga perlu diperhebatkan kepada semua rakyat khususnya warga emas agar mereka lebih peka dan berhati-hati dengan sebarang cubaan licik scammer.

* Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!