Cadangan harga siling BPT jangka dimuktamad Oktober

Mohamad menyampaikan ucapan pada majlis Peluncuran MAHA 2024 di MAEPS pada Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Mohamad menyampaikan ucapan pada majlis Peluncuran MAHA 2024 di MAEPS pada Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

SERDANG - Cadangan harga siling baharu bagi beras putih tempatan (BPT) akan dimuktamadkan sebelum Oktober depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini perbincangan mengenai perkara tersebut masih berjalan melibatkan beberapa kementerian.

“Sebarang perubahan harga dan sebagainya (perbincangan) melibatkan empat hingga lima kementerian, bukan hanya KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Kementerian Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Sebelum Oktober (dimuktamadkan), tidak lama lagi. Sekarang masih di peringkat perbincangan dan menuju kepada penyelesaian akhir,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2024) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Isnin.

Mohamad (dua dari kiri) merasmikan majlis Peluncuran MAHA 2024 di MAEPS pada Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Mohamad (dua dari kiri) merasmikan majlis Peluncuran MAHA 2024 di MAEPS pada Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan isu harga siling BPT dinaikkan bagi menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu.

Sebelum ini media melaporkan, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.

Sementara itu mengenai kes selesema burung di Amerika Syarikat (AS), Mohamad menjelaskan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan meneliti produk tenusu yang dibawa masuk ke negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Soal keselamatan, keterjaminan dan kesihatan perlu diambil kira. Mana-mana tempat yang dijangkiti penyakit selesema, virus dan sebagainya, DVS akan buat tindakan cepat dan memberi nasihat kepada KPKM supaya di kawasan terlibat tidak boleh diimport bahan ternakan.

Mohamad (kiri) melawat ruangan pameran MAHA 2024 di MAEPS pada Isnin.
Mohamad (kiri) melawat ruangan pameran MAHA 2024 di MAEPS pada Isnin.

“DVS adalah satu pasukan yang dihormati atas ketegasan mereka. Kawasan yang ada penyakit merebak, kita cepat bertindak,” jelasnya.

Bulan lalu seorang pekerja tenusu di AS disahkan mangsa ketiga positif selesema burung selepas terdedah kepada lembu yang dijangkiti dan yang pertama mengalami masalah pernafasan.

Jangkitan itu adalah kes manusia kedua di Michigan, yang mengesahkan lebih banyak kes selesema burung dalam lembu tenusu berbanding negeri-negeri lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!