[VIDEO] Penjimatan subsidi diesel tampung keperluan pengangkutan awam, STR - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menjelaskan penjimatan RM10 bilion hasil daripada penyasaran beberapa subsidi bukan untuk menampung elaun menteri atau kepentingan lain.
Sebaliknya kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia dikembalikan kepada rakyat yang sebahagiannya untuk menampung keperluan pengangkutan awam dan suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
"Skim STR ini mencecah RM10 bilion apabila kadar bantuan dinaikkan daripada RM300 kepada RM700 untuk sembilan juta penerima.
"Wang (penjimatan) itu bukan untuk naikkan elaun menteri ataupun kepentingan lain, saya tumpukan hal ini," katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini pada Selasa.
Menurutnya, pelaksanaan tiga keputusan besar membabitkan penyasaran semula subsidi elektrik, pengapungan harga ayam dan yang terbaharu penyasaran subsidi diesel dapat menjimatkan kira-kira RM10 bilion setahun kos kerajaan.
“Tarif elektrik kurang kontroversi kerana kita selamatkan 85 peratus rakyat, ia hanya terkena kepada golongan tertinggi 15 peratus ke atas dan warga asing yang kita dapat jimatkan RM4.5 bilion satu tahun," jelasnya.
Ujar beliau, pengapungan ayam menyelamatkan RM1.2 bilion setahun.
"Bayangkan dari zaman dulu saya Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Harga sewaktu Menteri Kewangan dulu, setiap kali menjelang musim perayaan mesti naik harga barang, maka kita beri subsidi untuk sederhanakan harga.
"Tapi bila kita bincang tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (bentang di Mesyuarat Jemaah Menteri), kita kata, mengapa harus diteruskan (subsidi) kerana kita melihat faedahnya lebih banyak kepada syarikat besar atau kartel ayam.
“Maka runding dengan tegas dan buat persiapan dengan cukup rapi dan akhirnya ditarik balik RM120 juta sebulan dan RM1.2 bilion setahun, harga tidak naik, kita selamatkan RM1.2 bilion," katanya.
Tambah beliau, keputusan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah untuk bahan bakar itu tidak diberi kepada golongan 'maha kaya' dan orang asing.
“Saya beritahu rakan Jemaah Menteri, kita kena buat keputusan baik sementara harus bantu rakyat majoriti, kita tidak harus beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri besar dan orang asing.
“(Ini) bukan diskriminasi kepada orang asing kerana orang asing tak bayar cukai, cukai levi yang sangat kecil...Tanggungjawab pertama adalah kepada warganegara kita,” ujar beliau.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel bermula 10 Jun sebagai langkah pembaharuan utama di bawah rangka kerja Ekonomi Madani.
Harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia diapungkan dan mengikut harga pasaran pada masa ini adalah RM3.35 seliter.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilapor berkata, untuk tempoh seterusnya harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.
Penyasaran itu hanya melibatkan Semenanjung dan tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!