CAP mohon siasat produk jenama peruncitan dalam talian terkenal dunia

CAP memohon pihak berkuasa supaya menyiasat produk satu jenama peruncitan dalam talian terkenal di dunia kerana didakwa mempunyai bahan kimia toksik yang tinggi.(Gambar hiasan) Foto AFP. Gambar kecil: Mohideen
CAP memohon pihak berkuasa supaya menyiasat produk satu jenama peruncitan dalam talian terkenal di dunia kerana didakwa mempunyai bahan kimia toksik yang tinggi.(Gambar hiasan) Foto AFP. Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memohon pihak berkuasa supaya menyiasat produk satu jenama peruncitan dalam talian terkenal di dunia kerana didakwa mempunyai bahan kimia toksik yang tinggi.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, penemuan bahan kimia tersebut dikesan pihak berkuasa Bandaraya Seoul terhadap produk kanak-kanak yang dikeluarkan oleh jenama tersebut.

Menurut Mohideen, berdasarkan laporan berita, pihak berkuasa Seoul menjalankan pemeriksaan keselamatan sejak bulan lalu berikutan kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat mengenai produk yang dijual oleh platform e-dagang dari China itu.

"Maklumat terkini mendedahkan bahawa tujuh daripada lapan produk yang diuji mengandungi bahan kimia toksik iaitu formaldehid dan ftalat melebihi had keselamatan. Sebagai contoh, sepasang kasut kanak-kanak mengandungi ftalat melebihi had yang dibenarkan iaitu 428 kali.

"Ftalat akan memudaratkan sistem pembiakan, neurologi dan kanak-kanak akan menjadi rentan manakala formaldehid pula, ia boleh mengakibatkan ketoksikan sistemik yang teruk, kerosakan tisu dan organ," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohideen menambah, populariti jenama terkenal dengan fesyen di seluruh dunia itu menyebabkan pihak berkuasa di Korea Selatan dan Kesatuan Eropah berninat untuk melihat dengan lebih dekat amalan perniagaan dan standard keselamatannya.

"Perkara ini amat membimbangkan kerana ia merupakan salah satu platform e-dagang dalam talian yang popular di Malaysia terutamanya dalam kalangan belia.

"Berdasarkan kepada situasi itu, CAP menggesa pihak berkuasa kita untuk segera menjalankan ujian keselamatan produk yang dijual oleh jenama tersebut kerana ia didapati mengandungi bahan kimia yang sangat berbahaya," tambahnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk sentiasa basuh pakaian baru sebelum memakainya untuk menyingkirkan lapisan kimia toksik.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya elak membeli daripada jenama yang tidak telus mengenai proses pembuatannya.

"Pengguna juga perlu mengelak atau mengurangkan membeli pakaian atau barangan yang dilabelkan sebagai tahan kotoran, air atau bau," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!