Projek rintis Dasar Gaji Progresif sedang berjalan - Rafizi

RAFIZI
RAFIZI
A
A
A

SHAH ALAM - Projek rintis Dasar Gaji Progresif yang menawarkan insentif kepada majikan agar membayar gaji permulaan dan kenaikan tahunan mengikut panduan sepadan dengan kadar semasa serta setimpal dengan kelayakan pekerja kini sedang berjalan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, insentif tersebut terbuka kepada majikan dan pekerja swasta dengan tertaktuk kepada syarat ditetapkan.

"Kerajaan menawarkan insentif kepada majikan agar membayar gaji permulaan dan kenaikan tahunan kepada majikan mengikut panduan gaji yang sepadan dengan kadar semasa yang setimpal dengan kelayakan pekerja.

"Majikan-majikan boleh mendaftar untuk mendapat insentif.

"Pekerja pula boleh berunding dengan majikan agar syarikat mereka menyertai skim ini supaya pekerja mendapat gaji yang setimpal, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu hantaran video di Facebooknya pada Isnin.

Rafizi pada November lalu memaklumkan, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis pada bulan ini membabitkan 1,000 syarikat yang memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.

Beliau berkata, pemilihan syarikat akan dibuat secara telus berdasarkan prinsip kesaksamaan, tahap keperluan sektor dan sokongan dasar.

Sementara itu, Rafizi menerusi hantaran sama berkata, Dasar Gaji Progresif merupakan usaha kerajaan untuk menaikkan gaji pekerja swasta secara berkala seiring dengan kenaikan pekerja kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Dasar Gaji Progresif diperkenal bagi menangani isu gaji rendah yang membelenggu golongan pekerja di negara mempunyai tiga ciri asas iaitu pelaksanaannya adalah secara sukarela oleh majikan, kerajaan akan memberikan insentif untuk menggalakkan seberapa ramai majikan dan pekerja menyertainya serta di pihak pekerja ia mesti terkait dengan produktiviti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!