Atas faktor keselamatan, boleh minta pelanggan buka sedikit pelitup muka
KUALA LUMPUR - Pihak pengendali kaunter yang berurusan dengan orang ramai diminta untuk menasihatkan pelanggan masing-masing membuka sedikit pelitup muka bagi tujuan keselamatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, selain faktor keselamatan buat semua pihak, perkara itu perlu diamalkan terutama dalam membantu polis mengesan suspek sekiranya berlaku kes jenayah.
Beliau berkata, pihak syarikat boleh menasihatkan pelanggan masing-masing untuk membuka seketika pelitup muka bagi tujuan keselamatan atau pengesahan identiti di premis.
"Ada pihak syarikat yang sudah mengamalkan perkara ini seperti di kaunter syarikat penerbangan bagi membuat pengesahan keselamatan dan identiti individu yang sedang berurusan.
"Perkara ini sebenarnya boleh membantu pihak polis sekiranya berlaku kes jenayah apabila wajah si pelaku dapat dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis terlibat," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur antara Datuk Habibi Majinji kepada Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Razali Mohd Idrus.
Rusdi menyatakan, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung ancaman bom palsu berbentuk parcel di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada Rabu.
Menurut beliau, setelah 12 individu dirakam percakapan berhubung kes tersebut, pihak polis kini dalam proses akhir untuk mengedar lakaran gambar suspek.
Jelas beliau, lakaran wajah suspek akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi mengesan si pelaku.
"Kita memohon jasa orang ramai untuk membantu pihak polis dengan berkongsi maklumat yang ada," ujarnya.
Ditanya mengenai kes ugutan bunuh yang diterima Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, beliau berkata, pihak polis ada mendapat petunjuk berhubung kes itu, namun ia meragukan.
Namun begitu katanya, siasatan masih dijalankan dan ia hampir selesai.
Sementara itu, Rusdi memberi peringatan keras kepada semua anggota untuk terus mengekalkan kecemerlangan bagi memastikan kontinjen polis Kuala Lumpur berupaya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menurut beliau, anggota dari semua jabatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur perlu mempunyai tahap prestasi kerja melebihi 90 peratus.
Kata beliau, warga IPK Kuala Lumpur tidak boleh lagi memberi mutu perkhidmatan sambil lewa atau 'acuh tak acuh', sebaliknya menjadi contoh terbaik kepada kontinjen lain.
"Bukan 50 atau 80 peratus, sebaliknya semua anggota dan pegawai perlu memberikan mutu perkhidmatan melebihi 90 peratus.
"Jika tidak mampu, anda boleh 'angkat kaki' atau berundur mengikut proses yang telah ditetapkan supaya IPK Kuala Lumpur boleh terus melakar kecemerlangan tugas kepada masyarakat," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!