SQ321: Bayaran balik penuh untuk semua penumpang
SINGAPURA - Singapore Airlines (SIA) akan memberikan bayaran balik penuh tambang kepada semua penumpang penerbangan SQ321, yang mengalami gelora udara ekstrem bulan lepas, termasuk kepada mereka yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Syarikat penerbangan itu menerusi hantaran di Facebook pada Selasa berkata, semua penumpang juga akan menerima pampasan kelewatan mengikut peraturan Kesatuan Eropah atau United Kingdom yang berkaitan.
SIA berkata, mereka yang mengalami kecederaan ringan telah ditawarkan pampasan sebanyak AS$10,000 (RM47,200), manakala mereka yang mengalami kecederaan lebih serius telah dijemput untuk membincangkan tawaran pampasan mengikut keadaan khusus masing-masing.
"Penumpang yang dinilai secara perubatan mengalami kecederaan serius, memerlukan rawatan perubatan jangka panjang dan memohon bantuan kewangan ditawarkan bayaran pendahuluan sebanyak AS$25,000 (RM118,000) untuk menangani keperluan segera mereka.
"Ini akan menjadi sebahagian daripada pampasan terakhir yang akan diterima oleh penumpang ini," kata SIA.
Semua penumpang juga diberikan S$1,000 (RM3,480) setiap seorang untuk menampung perbelanjaan segera mereka selepas berlepas dari Bangkok, di mana penerbangan itu dilencongkan susulan insiden tersebut.
Syarikat penerbangan itu berkata ia juga telah menanggung kos perubatan penumpang yang cedera dan mengatur penerbangan untuk ahli keluarga serta orang tersayang mereka ke Bangkok jika diminta.
SIA berkata pihaknya telah menghantar tawaran pampasan kepada penumpang pada 10 Jun melalui e-mel, bersama-sama dengan maklumat mengenai cara mereka boleh meneruskan tuntutan mereka.
"Untuk sebarang pertanyaan atau bantuan lanjut, penumpang boleh menghubungi kami menggunakan butiran yang diberikan, dan kami akan menangani perkara ini dengan segera," tambahnya, sambil menegaskan bahawa syarikat penerbangan itu tetap komited untuk menyokong penumpang yang terjejas.
SQ321 sedang dalam perjalanan ke Singapura dari London pada 20 Mei apabila ia mengalami gelora udara ekstrem, menyebabkan pesawat itu membuat lencongan kecemasan ke Bangkok, Thailand. Seorang penumpang meninggal dunia dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam insiden berkenaan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!