Pengurusan kes Hafizul Hawari cuba bunuh isteri di KLIA 25 Julai ini

Hafizul dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang pada Selasa, bagi prosiding sebutan cuba bunuh isteri di KLIA.
Hafizul dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang pada Selasa, bagi prosiding sebutan cuba bunuh isteri di KLIA.
A
A
A

SEPANG – [DIKEMAS KINI] Pengurusan kes Hafizul Hawari yang disyaki terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, ditetapkan di Mahkamah Sesyen di sini, pada 25 Julai depan.

Ia membabitkan kes cubaan membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu, pada April lalu.

Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan memutuskan tarikh itu, selepas pihak pendakwaan memaklumkan, mereka memerlukan masa untuk melengkapkan dokumen berkaitan kes.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin berkata, susulan itu, pihaknya memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi menyempurnakan dokumen iaitu laporan kimia dan asid deoksiribonuklekik (DNA).

Sementara itu, peguam, Nik Azim Azlan yang mewakili tertuduh tidak membantah perkara berkenaan.

“Saya turut memohon tarikh lain untuk pengurusan kes agar dokumen berkaitan pertuduhan tersebut dapat diserahkan oleh pihak pendakwaan secara serentak,” katanya.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju T dan berseluar berwarna putih dibawa ke mahkamah pada jam 9.10 pagi, dengan menaiki kenderaan polis.

Ini merupakan sebutan kes hari pertama selepas dia didakwa di sini pada 25 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pertama, pengurus syarikat agensi pelancongan berkenaan didakwa cuba membunuh ahli perniagaan, Farah Md Isa, 38, di balai ketibaan lapangan terbang itu, pada jam 1.09 pagi, 14 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda, namun jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tujuh anak itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd Nur Hadith Zaini, 38, menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kes berkenaan, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!