Pemotong rumput maut dihempap pokok tumbang
KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut dihempap pokok ketika memotong rumput dalam kejadian berhampiran sebuah sekolah di Tebobon, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun disahkan maut di lokasi tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.08 pagi.
Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 11 kilometer dari BBP Lintas.
"Sebaik tiba di lokasi, terdapat seorang mangsa dihempap pokok tumbang dan tersepit semasa melakukan kerja memotong rumput di lokasi.
"Pasukan bomba bertindak memotong dahan pokok tersebut menggunakan gergaji berantai untuk dialihkan ke tempat lain sebelum mangsa dikeluarkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi akibat kecederaan parah," katanya.
Caption
1. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dihempap pokok tumbang berhampiran di sebuah sekolah di Tebobon, Kota Kinabalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!