Pendidikan antirasuah penting buat guru, pelajar

Jelajah Antirasuah menjadi program pengukuhan terhadap usaha pihak sekolah meningkatkan capaian integriti.
Jelajah Antirasuah menjadi program pengukuhan terhadap usaha pihak sekolah meningkatkan capaian integriti.
A
A
A

PASIR SALAK - [DIKEMAS KINI] Penglibatan guru dan pelajar dalam usaha meningkatkan kesedaran bahaya rasuah penting bagi memastikan penerapan nilai integriti dapat dilakukan di peringkat akar umbi.

Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak, Rosmurni Abdul Aziz berkata, langkah itu disifatkan sebagai satu proses pembelajaran mustahak yang dapat memberi kefahaman lebih jelas melalui sistem pendidikan.

Menurutnya, peredaran masa dan teknologi ada ketikanya membuatkan warga pendidik juga terkeliru sama ada perbuatan dilakukan menjurus kepada rasuah atau sebaliknya.

"Sebelum ini pun kita memang selalu diingatkan dengan mesej-mesej mengenai integriti, tetapi dengan adanya penglibatan secara khusus, saya yakin ia akan memberi kefahaman yang lebih terperinci.

"Contohnya apabila sekolah menerima hadiah hari guru atau dana daripada pihak tertentu, ada yang mengatakan tidak boleh.

"Namun perkara sebegitu sebenarnya dibenarkan dengan syarat tertentu seperti membuat pengisytiharan dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian sempena program Jelajah Antirasuah MRSM siri kedua di MRSM Pasir Salak pada Isnin.

Sesi perkongsian dan penerangan dalam Jelajah Antirasuah MRSM siri kedua di MRSM Pasir Salak pada Isnin disertai 450 pelajar dan 75 kalangan guru serta kakitangan sekolah.
Sesi perkongsian dan penerangan dalam Jelajah Antirasuah MRSM siri kedua di MRSM Pasir Salak pada Isnin disertai 450 pelajar dan 75 kalangan guru serta kakitangan sekolah.

Artikel Berkaitan:

Program usaha sama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Rasuah Busters itu bermula pada 10 hingga 14 Jun ini melibatkan empat MRSM iaitu di Pasir Salak, Parit, Taiping dan Sultan Azlan Shah.

Hari pertama jelajah di MRSM Pasir Salak mendapat sambutan begitu memberangsangkan dengan penglibatan 450 pelajar dan 75 kalangan guru serta kakitangan sekolah.

Turut serta, Ketua Penolong Pengarah Unit Integriti Mara, Mohd Yusoff Hamid danKetua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin.

Rosmurni berkata, Jelajah Antirasuah menjadi program pengukuhan terhadap usaha pihak sekolah meningkatkan capaian integriti.

"Dari awal tahun lagi kita sudah mulakan gerakan anti rasuah ini dengan program pengenalan, ikrar integriti, aku janji dan sebagainya.

"Jadi pelaksanaan program ini tepat dan memberi nilai tambah terhadap usaha yang dilakukan pihak sekolah," katanya.

Beliau berharap program sama dapat diteruskan bagi memastikan kefahaman gejala rasuah diperluaskan meliputi semua peringkat institusi pendidikan.

Nurhayati (kanan) semasa sesi latihan dan simulasi bersama pelajar MRSM Pasir Salak sempena Jelajah Antirasuah MRSM siri kedua di MRSM Pasir Salak pada Isnin.
Nurhayati (kanan) semasa sesi latihan dan simulasi bersama pelajar MRSM Pasir Salak sempena Jelajah Antirasuah MRSM siri kedua di MRSM Pasir Salak pada Isnin.

Sementara itu, Nurhayati berkata, meskipun pendedahan mengenai antirasuah merupakan isu baru kalangan pelajar, namun penerimaan dan kefahaman kumpulan tersebut sangat mengejutkan.

Katanya, menerusi latihan dan simulasi dijalankan, pelajar dapat memberikan pandangan dan solusi secara matang.

"Matlamat kita dengan program ini untuk menanam nilai integriti dan karakter positif dalam diri pelajar.

"Supaya nanti, seberapa canggih dan moden pun teknologi, golongan ini yang bakal menjadi pemimpin-pemimpin negara dapat membuat keputusan bersandarkan nilai integriti yang ada," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!