Dua jenis puasa yang rugi jika tidak diamalkan

TERDAPAT dua jenis puasa yang rugi jika kita tidak ambil peluang untuk melaksanakannya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
TERDAPAT dua jenis puasa yang rugi jika kita tidak ambil peluang untuk melaksanakannya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
A
A
A

SELAIN kewajipan puasa pada bulan Ramadan, umat Islam turut digalakkan untuk berpuasa sunat.

Apatah lagi kita kini berada pada awal bulan Zulhijah yang terkenal sebagai ‘hari paling baik dalam setahun’. Malah, bulan terakhir dalam kalendar Islam itu juga termasuk sebagai bulan-bulan haram yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Disebabkan itulah umat Islam disarankan untuk merebut peluang yang terbentang luas di hadapan mata dengan memperhebat amalan pada waktu ini.

Pendakwah Ustaz Elyas Ismail menjelaskan, terdapat dua jenis puasa yang mendatangkan kerugian kepada kita jika ia tidak diamalkan.

USTAZ ELYAS
USTAZ ELYAS

Pertama, puasa yang dimaksudkan adalah berpuasa pada 10 hari terawal bulan Zulhijah.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh ALLAH daripada 10 hari ini (awal Zulhijah).” Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan ALLAH? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan ALLAH melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Artikel Berkaitan:

Meskipun tiada kelebihan khusus berpuasa sunat pada waktu berkenaan, tetapi kita digalakkan untuk membanyakkan amalan soleh ketika itu termasuklah melakukan ibadah berkenaan, di samping amalan-amalan lain.

Satu lagi jenis puasa, menurut Elyas, ia ialah puasa hari Arafah (9 Zulhijah) yang rugi jika tidak dilakukan.

“Ini kerana orang yang berpuasa pada hari berkenaan akan diampunkan dosa-dosanya sepanjang dua tahun iaitu tahun lepas dan tahun selepasnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Perkara itu dinyatakan secara jelas dalam sepotong hadis diriwayatkan oleh Abi Qatadah RA.

Apabila ditanyakan tentang puasa pada hari Arafah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat nas berkenaan, ujar Elyas, jelaslah betapa besarnya ganjaran yang bakal diraih mereka yang berpuasa pada hari Arafah.

“Kata para ulama, yang diampunkan itu ialah dosa-dosa kecil.

“Ayuhlah sama-sama kita merebut peluang amalan dalam awal bulan Zulhijah ini dengan beramal sebanyak-banyaknya,” titipnya.

Mengikut kalendar, 9 Zulhijah pada tahun ini jatuh pada hari Ahad iaitu 16 Jun 2024.

Bolehkah berpuasa pada hari Arafah jika tidak berbuat demikian sejak 1 Zulhijah lagi?

Sinar Islam Plus merujuk kepada artikel yang pernah disiarkan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurut pejabat mufti itu, seseorang yang ingin berpuasa pada hari Arafah tidak wajib berpuasa pada pada lapan hari sebelum hari berkenaan.

Ini kerana hadis yang memerihalkan tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah tidak mensyaratkan agar kita berpuasa pada hari-hari sebelumnya.

ORANG yang berpuasa pada hari Arafah akan diampunkan dosa-dosanya sepanjang dua tahun iaitu tahun lalu dan tahun selepasnya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
ORANG yang berpuasa pada hari Arafah akan diampunkan dosa-dosanya sepanjang dua tahun iaitu tahun lalu dan tahun selepasnya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Bahkan, terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah meninggalkan puasa beberapa hari sebelum hari Arafah dan berpuasa pada sebahagian hari yang lain.

“Oleh itu, seseorang boleh berpuasa pada hari Arafah dan memilih untuk berpuasa pada keseluruhan hari sebelumnya (bermula 1 Zulhijah) atau berpuasa pada sebahagian daripada hari-hari berkenaan,” ungkapnya.

Seperkara lagi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, tidak makruh mengerjakan puasa semata-mata pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad sekiranya hari-hari tersebut dianjurkan oleh syarak untuk berpuasa.

Ia termasuklah jika tibanya hari Arafah dan hari Asyura yang jatuh bertepatan pada hari-hari berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!