Dua bayi perlukan dana untuk pemindahan hati

Nur Izz Zoffia perlu melakukan pembedahan pemindahan hati segera.
Nur Izz Zoffia perlu melakukan pembedahan pemindahan hati segera.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua keluarga terpaksa menanggung kesulitan bukan sahaja kerana bayi masing-masing mengalami masalah kesihatan, malah memerlukan sejumlah dana yang besar untuk menampung kos pembedahan pemindahan hati bayi mereka.

Nur Izz Zoffia Hyra Muhammad Hakim, 6 bulan dan Fenix Yong Hua Yi, bayi lelaki berusia 11 bulan, mengalami masalah hati dan perlu membuat pembedahan secepat mungkin dengan kos RM140,000 setiap seorang.

Ibu kepada Nur Izz Zoffia, Nurul Husna Mohammed, 34, berkata, anak perempuannya itu dilahirkan dengan semua kedudukan organ dalamannya berada dalam keadaan terbalik dan ketika usianya mencecah 38 hari, saluran injap hempedunya didapati bermasalah dan pembedahan 'kasai' dilakukan ketika bayi tersebut berumur 57 hari.

Sui Hui (tiga dari kanan) bersama ibu bapa Nur Izz Sofia
Sui Hui (tiga dari kanan) bersama ibu bapa Nur Izz Sofia

"Tidak lama kemudian, doktor di hospital itu memberitahu bahawa hati Nur Izz Zoffia sudah tidak dapat berfungsi dengan baik dan perlu menjalani pembedahan pemindahan hati dengan segera untuk menyelamatkan nyawanya," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Nurul Husna berkata, dia bersedia mendermakan hati kepada anak bongsu daripada tiga beradik itu, namun keadaan tidak semudah disangka apabila saluran darah dalam hati terlalu rumit dan pembedahan tersebut terpaksa dilakukan di sebuah hospital di Shanghai, China.

Bagaimanapun katanya, kos pembedahan tinggi membuatkan mereka tidak mampu mengumpul wang dalam masa terdekat dengan pendapatan suaminya sebagai tentera berjumlah RM1,905 sebulan, manakala dia yang berkhidmat sebagai penjawat awam berpendapatan RM2,450 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sui Hui (kanan) ketika melawat Fenix Yong di hospital.
Sui Hui (kanan) ketika melawat Fenix Yong di hospital.

Sementara itu, Siew Ting Wichie Schan, 36, yang merupakan ibu kepada Fenix Yong memberitahu, dengan gaji sebanyak RM3,000 sebulan sebagai kerani akaun dan suaminya, Yong Shin Kiong, 39, yang bekerja dalam sektor pemasangan tingkap dengan pendapatan RM3,200 sebulan, pasangan tersebut turut mengakui tidak mampu menyediakan sejumlah wang tersebut untuk membiayai kos pemindahan hati anak mereka.

Siew Ting turut menyatakan hasrat untuk menderma hati kepada bayi lelakinya demi melihat anak bongsu daripada tiga beradik itu sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain.

Terdahulu, kedua-dua pasangan ibu bapa berkenaan tampil memohon bantuan daripada badan amal One Hope Charity & Welfare Berhad untuk mengumpulkan dana daripada orang ramai bagi menampung kos pembedahan dan pemindahan hati yang perlu dilakukan anak mereka.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare Berhad, Chua Sui Hui berkata, pihak melancarkan tabung bagi mengumpul sumbangan daripada orang ramai yang prihatin terhadap nasib mereka.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun One Hope Charity & Welfare Berhad bernombor 3192433435 (Public Bank Berhad).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!