Ringgit dijangka mengukuh kepada 4.42 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun

Ringgit mempunyai potensi kukuh untuk meningkat kepada 4.42 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun. Gambar hiasan
Ringgit mempunyai potensi kukuh untuk meningkat kepada 4.42 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT mempunyai potensi kukuh untuk meningkat kepada 4.42 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun.

Kenanga Research dalam satu nota penyelidikan berkata walaupun angka gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) yang terbaharu adalah melebihi jangkaan sekali gus menangguhkan jangkaan penurunan kadar faedah sehingga bulan November.

Firma penyelidikan itu mendapati kelemahan berterusan dalam ekonomi AS.

Ia termasuk pencarian kerja yang berlanjutan, pemberhentian kerja untuk menjimatkan kos oleh syarikat dan ancaman tekanan kewangan yang semakin meningkat akibat hutang kad kredit bertambah dan bil gadai janji melonjak.

"Ini adalah sebab jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah pada September digabungkan dengan asas kukuh Malaysia, ringgit dijangka meningkat.

"Usaha kerajaan untuk mendapatkan semula pendapatan asing dan komitmennya terhadap penyatuan fiskal juga boleh membantu mengukuhkan ringgit," katanya.

Kenanga Research berkata ringgit melonjak semula pada Mei, menjadi salah satu mata wang ASEAN mencatatkan prestasi terbaik apabila indeks Dolar AS (DXY) menyusut nilai.

Susut nilai ini didorong oleh kecenderungan Fed untuk tidak menaikkan kadar faedah, laporan pekerjaan AS yang lemah, kelembapan dalam indeks harga pengguna teras dan kemerosotan jualan runcit.

Artikel Berkaitan:

Prospek perbezaan dasar antara Fed dan bank pusat G10 juga memberi tekanan kepada dolar US.

"Selain itu, ringgit disokong oleh keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan dasar kadar dan bacaan makroekonomi domestik yang kukuh,” katanya.

Kebanyakan mata wang ASEAN juga mengukuh berbanding dolar AS, dolar Singapura dan Baht Thailand masing-masing meningkat sebanyak 0.4 peratus manakala rupiah Indonesia mendapat keuntungan sederhana sebanyak 0.1 peratus, katanya.

Sementara itu, kadar inflasi dijangka kekal stabil, pada purata sekitar 2.7 peratus pada 2024.

"Unjuran inflasi kami telah pun mengambil kira rasionalisasi subsidi diesel yang diumumkan baru-baru ini dan jika RON95 diapungkan pada suku keempat 2024.

"Ditambah dengan jangkaan pertumbuhan optimistik kami pada 4.5-5.0 peratus, BNM dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus, berpotensi berlanjutan sehingga akhir tahun 2025,” kata Kenanga Research. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!