Murid sekolah lemas ikut rombongan mandi pantai
KOTA KINABALU - Aktiviti riadah sekumpulan murid sebuah Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) bertukar tragedi apabila seorang daripadanya lemas dalam kejadian di pantai Kampung Bakasan, Karambunai dekat sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, mangsa lelaki berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia selepas ditemui kira-kira sejam setengah selepas dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.57 pagi.
Menurutnya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 29 kilometer dari BBP Kota Kinabalu.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui Khidmat Panggilan Kecemasan Malaysia (MERS) 999 terdapat seorang kanak-kanak rombongan Sekolah Indonesia, Kota Kinabalu dilaporkan lemas di pantai semasa menjalankan aktiviti riadah mandi di lokasi.
"Pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat terperinci dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ordine berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi SAR menggunakan kaedah pencarian permukaan atas air menggunakan bot penyelamat di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
"Mangsa kemudian berjaya ditemui pada jam 10.25 pagi oleh pasukan bomba pada jarak 40 meter dari pantai dengan kedalaman dua meter.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 11.54 pagi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!