Green Guardian Centre didik generasi muda bijak guna tenaga
KUALA LUMPUR - Satu lagi platform peka tenaga iaitu Green Guardian Centre dilancarkan di Pusat Sains Negara (PSN) dekat sini dengan sasaran memupuk generasi muda agar memahami dan menggunakan tenaga secara bijak sekali gus mendukung Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelbagai produk pandang dengar (audio visual) sebagai bahan pendidikan dipersembahkan di pusat itu dalam bentuk mudah difahami yang sesuai dengan generasi muda.
Menurutnya, inisiatif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia berkenaan adalah antara program Malaysia Energy Literacy Program (MELP) dengan memberi akses kepada orang ramai terhadap ilmu kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu dan penjanaan tenaga.
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya, apatah lagi anak-anak ini bakal mewarisi kehidupan yang kita rencanakan pada hari ini.
“Kita berharap agar ibu bapa, pihak sekolah dan guru-guru memanfaatkan peluang menimba pengetahuan melalui paparan dan pendekatan yang menarik ini," katanya ketika melancarkan pusat pameran interaktif berkenaan pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai TNB Global Business Solutions (TGBS), Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim mewakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB dan Ketua Pegawai Eksekutif YHM, Dr Nurul Muiz Murad.
Petra telah menjadikan MELP yang diasaskan oleh TNB pada hujung 2020 sebagai agenda nasional dengan menggembleng kerjasama kementerian dan agensi berkaitan bagi membangunkan tamadun masyarakat yang peka tenaga.
Akmal Nasrullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MELP berkata, MELP menyediakan akses kepada pengetahuan dan maklumat mengenai tenaga, memandu pembuat keputusan dan meraih sokongan umum dalam memacu kemampanan tenaga, sekali gus mengembangkan masyarakat peka tenaga dan pengguna pintar.
Melalui usaha itu, katanya, rakyat diajak bersama-sama menghayati usaha-usaha keterjaminan, keselamatan dan kemampanan bekalan tenaga elektrik negara melalui teknologi hijau serta rendah karbon seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan.
"Seelok-eloknya rakyat sentiasa maklum terhadap apa jua inisiatif peluasan tenaga boleh baharu, pendigitalan dan penggunaan teknologi hijau bagi meningkatkan tenaga bersih.
"Kita tidak mahu pengguna hanya tahu memetik suis untuk menggunakan elektrik, tetapi juga memahami kepentingan kemampanan tenaga kepada bumi dan kehidupan manusia," ujarnya.
Kata beliau, Green Guardian Centre mula beroperasi hujung tahun lalu dan akan terus dibuka hingga hujung tahun hadapan.
"Sekiranya ada sekolah berminat untuk datang ke pusat ini secara rombongan boleh berhubung dengan urusetia untuk melancarkan pergerakan pelajar," kata beliau.
Sementara itu, Ahmad Hushairi berkata, di pihak TNB, sebanyak 46 program peka tenaga telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu melibatkan agensi kerajaan, persatuan pengguna, kontraktor, pelajar institusi pengajian tinggi serta murid sekolah yang kesemuanya memberikan maklum balas positif.
“Kaji selidik pada setiap program menunjukkan ada peningkatan tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan tenaga dan kepekaan mereka boleh menyumbang kepada kejayaan NETR, seiring sasaran negara neutral karbon menjelang 2050.
"Kami di TNB berusaha mempercepatkan peralihan tenaga secara bertanggungjawab dalam menuju sifar bersih tersebut, dengan menetapkan pengurangan 35 peratus intensiti pelepasan karbon dan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!