Aidiladha: Lembu sado 'harga kayangan' jadi pilihan, daging lebih enak
BACHOK - Memiliki keistimewaan tersendiri membuatkan lembu sado menjadi pilihan untuk dikorbankan pada Aidiladha meskipun ditawarkan pada 'harga kayangan' sehingga mencecah puluhan ribu ringgit seekor.
Penternak lembu sado Noraimi Hasan, 53, atau lebih mesra dikenali Paksu Mie berkata, lembu bersaiz 'gergasi' itu menjadi tarikan bukan sahaja disebabkan saiznya bahkan dagingnya lebih enak serta empuk apabila dimasak.
Noraimi berkata, setakat ini dua daripada sembilan ekor lembu sado miliknya yang berharga hampir RM11,000 dengan berat melebihi 700 kilogram (kg) telah dijual kepada pembeli di sekitar jajahan Kota Bharu untuk Aidiladha yang akan disambut pada 17 Jun.
"Apabila Aidiladha bakal tiba, pasti ada pembeli yang mencari lembu sado untuk dikorbankan kerana mempunyai daging lebih banyak selain rasa yang sedap apabila dimakan.
"Kebiasaan lembu ini dijual pada harga sekitar RM1,300 hingga RM1,500 untuk satu bahagian bergantung kepada saiz lembu. Memandangkan saiznya yang besar ia memerlukan kira-kira lapan orang untuk menumbangkan lembu itu,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya dekat Pantai Senok, di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Noraimi yang berkecimpung dalam bidang ternakan lembu sado sejak enam tahun lepas berkata, beliau mula menternak lembu sado dari baka charolais dan limousine kerana harganya lebih tinggi berbanding lembu tempatan.
Beliau menggunakan modal sebanyak RM4,000 untuk membeli seekor lembu sado baka charolais bagi dijadikan induk sebelum ia membiak dan mampu memberi pulangan lumayan.
"Bagi memastikan pembiakan ternakan ini sentiasa ada, saya akan lakukan permanian beradas iaitu dengan memasukan benih untuk proses pembiakan. Prosedur ini dilakukan menggunakan benih yang diimport dari negara Perancis dan Ireland.
"Saya akan dapatkan khidmat daripada kakitangan Jabatan Veterinar untuk melakukan proses berkenaan dan lembu betina itu akan bunting sekitar sembilan bulan selepas dimasukkan benih sebelum teknik berkenaan diulangi lagi selepas ia melahirkan anak," katanya.
Ketika ditanya mengenai bekalan makanan, Noraimi berkata, beliau memperuntukkan sekitar RM10 sehari bagi setiap seekor lembu ternakannya untuk diberikan dedak serta rumput iaitu pada sebelah pagi dan petang dengan kuantitinya bergantung kepada saiz lembu.
"Antara kekangan menternak haiwan ini ialah kos bekalan makanan mahal selain berisiko untuk dijangkiti penyakit kuku dan mulut. Bagi mengurangkan risiko jangkitan ini, setiap tiga atau empat bulan sekali saya akan memberi suntikan kepada lembu dengan harga sekitar RM70.
"Selain itu, saya turut mengikuti pelbagai kursus selain berkongsi maklumat dari segi penjagaan lembu sado ini dengan penternak lain untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan betul bagi penjagaan ternakan ini," katanya.
Seorang pembeli Mohd Izwan Seman, 31, berkata, seakan menjadi rutin tahunan baginya sejak tiga tahun lepas memilih lembu sado untuk ibadah korban.
"Saya mula beralih angin sejak tiga tahun lepas dengan memilih lembu sado berbanding lembu tempatan untuk dijadikan haiwan korban pada Aidiladha. Setiap bahagian yang diambil dikenakan harga sebanyak RM1,300.
"Walaupun harganya lebih mahal berbanding lembu tempatan, namun saya berpuas hati dan merasakan berbaloi kerana daging yang diperoleh sangat banyak dan boleh diagihkan kepada ramai orang yang memerlukan," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!