'Saya minat tulis, belajar jawi'
KUALA SELANGOR- Saya belajar tulisan jawi bukan bermakna saya nak masuk Islam, tetapi saya ingin mengembangkan perniagaan batu nisan peninggalan keluarga,” demikian kata seorang warga emas, Kuah Leong Soon, 67.
Leong Soon berkata, tulisan jawi sudah sebati dalam jiwanya kerana sering menerima tempahan batu nisan daripada pelanggan Islam.
“Saya suka menulis jawi dan sentiasa belajar untuk mahir dalam seni tulisan tersebut walaupun saya bukan Islam.
“Saya hairan kenapa segelintir orang Melayu tidak pandai menulis jawi. Kalau Melayu tak pandai tulis jawi, saya bimbang tulisan ini akan pupus,” katanya.
Menurut Leong Soon, tulisan jawi yang dipelajarinya sejak berusia 17 tahun itu sesuatu yang cukup istimewa dan menjadi punca pendapatannya selama ini.
Katanya, dia mempelajari tulisan jawi daripada pelanggannya yang datang ke bengkel membuat batu nisan di Pekan Lama, Kuala Selangor.
“Mula-mula dulu saya sendiri tidak kenal huruf jawi. Saya belajar daripada mengenal huruf dan menyambungkan huruf menjadi perkataan.
“Tulisan jawi sekarang pun banyak perubahan, tapi saya masih belajar dan bertanya dengan pelanggan bagaimana mengeja jawi dengan tepat,” katanya.
Bapa kepada empat anak itu memberitahu, dia kini hanya mengambil tempahan pelanggan menggunakan buku nota memandangkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Saya suka menulis jawi walaupun sebelah badan saya lumpuh akibat diserang strok 14 tahun lalu.
“Walaupun saya tidak boleh mengukir batu nisan seperti dahulu, namun semangat saya terhadap tulisan ini tidak pernah luntur,” katanya.
Menurut Leong Soon, semua kerja ukiran batu nisan granit kini diserahkan sepenuhnya kepada adik lelakinya, Kuah Leong Chuan, 64.
“Dia (Leong Chuan) meneruskan tradisi keluarga mengukir batu nisan dan menulis jawi. Saya hanya tunggu di kedai untuk terima tempahan sahaja.
“Saya harap tulisan ini terus diperluaskan kerana ia sesuatu yang unik.
“Saya juga sedih sebab anak-anak tidak berminat dalam perniagaan ini yang tidak menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!