Zakar membengkak, gara-gara khatan DIY
TAIPEI - Gara-gara cuba bersunat sendiri menggunakan kit 'do-it-yourself (DIY)' yang dibeli secara dalam talian, seorang lelaki di Taiwan terpaksa menanggung kesakitan dan terpaksa dirawat di hospital.
Pakar urologi, Dr Chen Zhongzuo menerusi akaun media sosial berkongsi kisah ngeri pesakit itu yang mengalami bengkak pada zakarnya kerana menggunakan kit yang dibeli dari aplikasi Taobao.
"Pesakit mendakwa kit itu mengandungi ubat bius ringan yang disembur pada alat kelaminnya. Tetapi, prosedur membuang bahagian kulup telah menyebabkan kesakitan melampau kepadanya.
"Selepas tujuh hari menanggung sakit, lelaki itu akhirnya mendapatkan rawatan di hospital," ujarnya.
Menurutnya lagi, zakar pesakit itu mengalami jangkitan dan terpaksa diberikan antibiotik.
"Dia sememangnya bernasib baik kerana segera ke hospital. Jika tidak, dia pastinya perlu menjalani pembedahan," jelasnya sambil menasihatkan golongan lelaki supaya tidak berkhatan secara 'DIY' kerana risikonya amat tinggi. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!