Reman empat suspek pecah rumah Kieda disambung

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

BUTTERWORTH - Reman terhadap empat individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah rumah seorang usahawan pencuci mulut pada 25 April lalu disambung tiga hari lagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden Zulkeflee Sulaiman berkata, keempat-empat suspek sebelum ini direman empat hari bermula 6 Jun lalu.

"Permohonan sambung reman terhadap keempat-empat suspek dibenarkan oleh mahkamah.

"Kita mendapat tiga hari lagi (reman) sehingga 14 Jun untuk melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Sebelum ini, empat suspek direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah rumah seorang usahawan.

Kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun itu ditahan di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Khamis lalu, antara jam 9 hingga 10 pagi.

Polis turut merampas barangan emas bernilai RM40,000 dipercayai milik usahawan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang usahawan mengalami kerugian sehingga RM800,000 apabila rumahnya di Kepala Batas telah dipecah masuk penjenayah pada April lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Siti Nur Khalieda Yusra iaitu pemilik Kieda Crepe di beberapa platform media sosial miliknya pada malam Ahad lalu selepas 40 hari kejadian berlaku.

Dia yang lebih mesra disapa Kieda berkata, kejadian berlaku pada 25 April lalu, antara jam 8 hingga 11 malam.

Katanya, kejadian tersebut disedari mereka ketika pulang ke rumah selepas selesai berniaga di premis mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!