'Saya terhutang budi dengan Thiban'

Kisah Thiban membantu golongan memerlukan tanpa mengira bangsa lambang keharmonian.
Kisah Thiban membantu golongan memerlukan tanpa mengira bangsa lambang keharmonian.
A
A
A

SUBANG JAYA - Perbezaan agama, bangsa mahupun pangkat tidak menjadi halangan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini terutama dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Itu semangat 1Malaysia yang dikongsi oleh seorang pelayar Twitter dikenali Taufik Zainuddin apabila mengucapkan terima kasih kepada lelaki berbangsa India disapa Thiban kerana tampil membantu adiknya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada jam 5 pagi semalam di Subang Jaya.

Katanya, Thiban adalah orang pertama menghubunginya untuk maklumkan berita tersebut.

"Dialah orang yang hubungi saya pagi-pagi, maklum lokasi, situasi macam mana, dia juga sanggup jaga adik saya sampai ambulans tiba. Tolong simpan motosikal adik di rumahnya.

"Alhamdulillah, adik telah menerima rawatan dan tiada mengalami kecederaan serius atau patah. Sekadar luka sahaja," katanya yang menarik perhatian netizen.

Menurut Taufik, sikap ikhlas ditunjukkan oleh Thiban membuatkan dirinya sangat terhutang budi dan akan mengingati jasanya.

"Saya terhutang budi sangat dekat Thiban ni. Moga Tuhan memberkatinya. Awak telah membantu orang tanpa mengira bangsa dan agama. Ini benar-benar rakyat Malaysia bro. Saya tak tahu apa akan jadi kat adik kalau dia tiada tadi," katanya.

Menyifatkan apa yang dilakukan Thiban adalah nilai-nilai positif dan memberi inspirasi kepada anak muda untuk mencontohi kelakuan baiknya, netizen berharap lebih ramai lagi masyarakat seperti Thiban.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, rakyat Malaysia saling membantu tanpa melihat warna kulit. Perlu lebih ramai orang seperti Thiban," ujar Artisan.

Menurut Balqis pula, "Inilah yang benar-benar dilakukan oleh rakyat Malaysia, saya harap perpaduan semacam ini akan kekal selama-lamanya di negara kita tidak kira apa halangan yang kita hadapi di sini."

Kata Sambathku, "Dia hanya seorang rakyat Malaysia atas nama India. Baik atau buruk, kita tidak perlu memanggil nama-nama yang menyatakan dia India, Cina, Melayu, Iban dan sebagainya. Kita semua mempunyai nama yang berbeza mengikut asal usul kita. Tetapi kita semua hanya mempunyai satu kebangsaan, satu ID, satu pasport. Malaysia!"

Tambah Yung juga bersetuju tindakan dilakukan oleh Thiban yang melambangkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa.

"Harmoni jer. Berbilang kaum." katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!