Rakyat perlu nilai matlamat Rukun Negara diwujudkan

Profesor Dr Sivamurugan Pandian
Profesor Dr Sivamurugan Pandian
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini perlu berpegang kepada prinsip Rukun Negara yang sememangnya diwujudkan bermatlamat memulihkan perpaduan selepas peristiwa hitam negara pada 13 Mei.

Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, matlamat rukun negara itu sendiri harus dinilai, diteliti dan digarap sepenuhnya.

Menurutnya, sejarah terlahirnya Rukun Negara jelas demi perpaduan kepada masyarakat majmuk di negara ini yang pernah berdepan ketegangan antara satu sama lain.

"Lihat konteks rukun negara adalah untuk mempertahankan amalan demokratik yang pernah kita amalkan. Bermaksud ada kebebasan tetapi kebebasan secara terpimpin, kebebasan itu harus ada nilai-nilai tertentu.

"Faham, hormat, terima. Bagaimana kita mahu mahu meningkatkan pemahaman kita. Mampukah kita untuk menghormati perbezaan yang wujud, sejauh manakah kita mampu untuk pertahankan nilai penerimaan,"katanya pada Program Wacana Siri 151 bertajuk Rukun Negara:Di manakah nilai-nilai hidup rakyat Malaysia, di Auditorium Karangkraf di sini malam tadi.

Jelas beliau lagi, Rukun Negara juga membolehkan amalan liberal, kesederhanaan dan tatasusila dalam masyarakat dapat dipertahankan.

"Liberal bermaksud bagaimana kita mampu meningkatkan fitrah saling mengenali antara satu sama lain.Liberal tidak terlalu taksub terhadap satu kepercayaan, tidak terlalu bersikap radikal, ekstrem mempertahankan kepercayaan ataupun ritual yang telah menjadi satu amalan. Liberal tidak bermaksud kita menidakkan apa yang telah kita dididik, diasuh dan disemai.

"Nilai kesederhanaan juga boleh kita tingkatkan supaya kita boleh memelihara sensitiviti antara masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!