[VIDEO] Projek RTS: Anthony sedia beri taklimat khusus kepada Tun M

A
A
A

GEORGE TOWN - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersedia untuk memberi taklimat khusus kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pembinaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

Anthony berkata demikian ketika mengulas mengenai pandangan yang ditulis Dr Mahathir dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.

"Biar fakta ini (Projek RTS) ini jelas, kalau Tun mahu maklumat lengkap, saya bersedia untuk bagi taklimat khusus kepada beliau," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan 57th ASEAN Senior Transport Offical Meeting (STOM) di sini pada Selasa.

Tambahnya, Dr Mahathir berkemungkinan lupa mengenai projek berkenaan yang telah diluluskan ketika beliau menjadi Perdana Menteri ke-7 dahulu.

"Saya ketika itu sebagai Menteri Pengangkutan, saya yang bentangkan kertas Jemaah Menteri untuk meneruskan Projek RTS ini dan diluluskan oleh Tun sendiri. Malah pada 31 Oktober 2019, beliau hadir di Johor Bahru ketika itu, gambar beliau ada di sana.

"Tajuk berita ketika itu 'Kerajaan teruskan Projek RTS Bukit Chagar ke Woodlands North'. Tun ada di sana, saya yang menemani beliau dalam sidang media tersebut. Beliau yang mengumumkan, jadi mungkin beliau dah lupa," katanya.

Anthony menunjukkan laporan berita mengenai Projek RTS ketika sidang akhbar di George Town pada Selasa.
Anthony menunjukkan laporan berita mengenai Projek RTS ketika sidang akhbar di George Town pada Selasa.

Dalam hantaran terbaharunya di Facebook, Dr Mahathir berkata, tiang-tiang konkrit sedang meninggi merentasi Selat Tebrau dan menyifatkan ‘perkara hebat’ sedang berlaku di Selatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun tidak mendengar banyak laporan mengenai projek berkenaan di dalam negara, namun beliau percaya sudah tentu ia tidak boleh dibina tanpa kelulusan kerajaan Malaysia.

Tambah Anthony, Dr Mahathir juga dilihat tidak mendapat maklumat yang betul mengenai projek berkenaan.

"Dalam hal ini, Tun sepatutnya bercakap berdasarkan fakta. Beliau berkata berita mengenai projek itu kurang pendedahan. Ini tidak betul, kita hampir setiap bulan bercakap pasal RTS, dalam media hampir setiap minggu ada laporan (pasal RTS).

"Saya tidak tahu sama ada beliau dapat maklumat benar atau tidak. Saya menghormati Tun sebagai mantan Perdan Menteri. Tetapi biarlah cakap berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa laporan mengenai pendedahan tidak ada, ini tak betul," katanya.

Jelas beliau, Projek RTS itu merupakan satu perangsang kepada pembangunan di Johor.

"Jika nak kata beliau tidak mengetahui pasal RTS ini, tak betul kerana beliau sendiri yang luluskan semula projek ini. Projek ini yang betul, pada asalnya dimulakan semasa pentadbiran BN di bawah Najib sebelum PRU 2018.

"Tetapi selepas PRU2018, kita tangguhkan dan kita bincang semula, ada perubahan daripada segi skop projek dan cara pelaksanaan projek.

"Pada 2019, selepas perbincangan semula dan rundingan dengan Singapura, saya membawa ke Kabinet dan diluluskan oleh Tun," katanya.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, RTS Link akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

Sistem pengangkutan yang dianggarkan melibatkan belanja RM10 bilion itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!