Jaclyn Victor tunai impian sendiri
SETELAH dua dasawarsa meranduk arus industri seni, penyanyi suara bernada tinggi, Jaclyn Victor akhirnya menghadiahkan konsert pertama buat peminat setianya.
Meskipun mengakui tidak yakin pada awalnya, namun penyertaan dalam program Gegar Vaganza telah memberi keyakinan kepada bintang berusia 45 tahun itu.
Malah, pemilik nama penuh Jaclyn a/p Joshua Thanaraj Victor itu menjanjikan kelainan menerusi Jaclyn Victor First Solo Concert yang akan berlangsung pada 12 Oktober 2024 di Zepp Kuala Lumpur.
“Saya selalu bertanya pada diri sendiri, kalau buat konsert, ada atau tidak orang datang? Tetapi bila mengenangkan tahun 2024 adalah tahun ke-20 dalam industri, saya fikir inilah masanya.
“Tambahan pula, selepas menyertai Gegar Vaganza, saya melihat sokongan tidak berbelah bahagi peminat dan media, jadi secara tidak langsung memberi semangat untuk saya teruskan perjuangan,“ katanya.
Jaclyn berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Palm Garden Hotel, Putrajaya, baru-baru ini.
Bagi menampilkan kelainan yang dijanjikan, Jaclyn berkata, beliau akan bekerjasama dengan pengarah muzik yang berbakat iaitu Genervie Kam bagi mencetuskan magis pada persembahannya.
Mengakui sedikit bimbang kerana melihat hanya persembahan vokal menjadi kekuatannya, anak kelahiran Kepong, Selangor itu banyak belajar menerusi pemerhatian konsert-konsert artis popular dalam dan luar negara.
“Saya tidak dapat kongsikan lagi apa akan ditampilkan kelak, tetapi akan ada kelainan dalam konsert itu nanti.
“Saya akan persembahkan lagu yang boleh dinyanyikan bersama. Saya tak pandai menari, jadi kekuatan pastinya pada persembahan vokal.
“Saya juga sempat menonton konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza yang pada saya, menakjubkan selain turut mencontohi Aina Abdul, beliau seorang penyanyi yang berani walaupun belum berkesempatan menonton konsertnya.
"Ada input yang saya dapat daripada konsert mereka,“ ujarnya yang tidak melihat konsert solo pertama itu hanya sekadar melengkapi portfolio dalam karier nyanyiannya.
Tiket konsert anjuran Rag Doll Records dengan kerjasama Banyak Bagus Entertainment dan Awake Productions sudah mula dijual menerusi www.livepass.asia bermula Isnin lalu.
MatangMengimbau kembali detik awal penglibatannya dalam industri seni, Jaclyn berkata, 20 tahun bukan tempoh yang singkat buatnya.
Namun, dalam masa sama, ibu kepada sepasang cahaya mata itu bersyukur kerana namanya masih utuh sehingga kini.
Malah, jika diukur sepanjang tempoh dua dekad itu, sudah banyak yang dipelajarinya, bukan sekadar aspek vokal, tetapi juga teknik penyampaian dan emosi.
“Kalau anda masih ingat lagi, ketika menyertai Malaysian Idol, ada yang kata saya macam mesin jukebox yang boleh menyanyi apa sahaja lagu dan saya penyanyi yang tiada emosi.
“Tidak dinafikan, pengalaman menyanyi bersama band di kelab malam membuatkan saya menyanyi macam jukebox, fokus adalah untuk capai nota lagu.
“Bila mula menyertai industri, saya belajar berinteraksi, bukan hanya dengan penonton dalam studio, tetapi juga dengan penonton di rumah.
“Jadi, jika hendak dibandingkan Jaclyn Victor sekarang dengan 20 tahun lalu, sudah banyak perbezaannya,“ katanya yang berjanji untuk terus belajar mengenai muzik.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan lain, Jaclyn berkata, beliau akan tampil dengan sebuah single baharu tidak lama lagi.
Katanya, single tersebut pada asalnya dirancang untuk dilancarkan pada awal Mei lalu, namun atas beberapa sebab, perancangan itu tidak dapat dilakukan.
“Apa yang boleh saya katakan, lagu ini dicipta oleh komposer sama yang menghasilkan lagu Kembalilah iaitu Adrian Puan dan Gerald Sellan, rakan saya dari New York.
“Saya tidak mahu kongsikan butiran lanjutnya kerana lagu tersebut akan keluar dalam masa terdekat ini. Nantikan pengumuman lanjut,“ ujar Jaclyn menutup perbualan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!