Seni, budaya bantu eratkan hubungan Malaysia-China

Miniatur yang dihasilkan oleh pengukir profesional tempatan.
Miniatur yang dihasilkan oleh pengukir profesional tempatan.
A
A
A

CHERAS - Pameran seni dan budaya menerusi karya miniatur artis tempatan membantu mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia-China selain dapat mengembangkan pemahaman sosiobudaya antara kedua-dua negara.

Pengasas Galeri Seni Budaya Dunia (WCO), Foo Loke Kee berkata, dengan mendalami pemahaman terhadap warisan budaya masing-masing ia berpotensi membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pendidikan.

Menurutnya, menerusi pameran itu bukan sahaja memperlihatkan keindahan kesenian kedua-dua negara tetapi meningkatkan kerjasama ekonomi dan sosial.

Loke Kee (kiri) bersama Awang bergambar dengan replika Kota Melaka.
Loke Kee (kiri) bersama Awang bergambar dengan replika Kota Melaka.

“Projek ini mengambil masa tiga tahun untuk kita siapkan dengan lengkap termasuk replika kayu untuk seni bina istana, replika sampan dan kapal layar. Ini semua kerja anak tempatan.

“Pameran ini sangat penting bagi terus memperkasa hubungan persahabatan antara Malaysia dengan China yang sudah terjalin hampir lima dekad.

“Kita turut tampilkan pelbagai model miniatur yang menggambarkan detik-detik penting dalam hubungan dua hala, termasuk projek-projek pembangunan infrastruktur, pertukaran budaya, serta inisiatif perniagaan dan teknologi yang telah dilaksanakan bersama,” katanya.

Dari kiri: Awang, Jayappragas dan Loke Kee di Majlis Perasmian Pameran Miniatur Hubungan Diplomatik Malaysia-China bersempena sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 kedua-dua negara itu di G-03 You Residences pada Selasa.
Dari kiri: Awang, Jayappragas dan Loke Kee di Majlis Perasmian Pameran Miniatur Hubungan Diplomatik Malaysia-China bersempena sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 kedua-dua negara itu di G-03 You Residences pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pameran Miniatur Hubungan Diplomatik Malaysia-China bersempena sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 kedua-dua negara itu di G-03 You Residences, di sini pada Selasa.

Turut hadir Ahli Dewan Negara, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jayappragas Muthuveeroo.

Turut hadir Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Suhaimi Zakaria; Ketua Editor Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Rosnani Omar dan Penolong Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara Jabatan Warisan Negara, Somira Abdul Rahman

Dari kiri: Rosnani, Somira, Loke Kee,Awang, Jayappragas dan Mohd Suhaimi.
Dari kiri: Rosnani, Somira, Loke Kee,Awang, Jayappragas dan Mohd Suhaimi.

Dalam pada itu, menurut Kee, sokongan daripada agensi turut sama membantu dalam menjayakan pameran tersebut.

Tambah beliau, menerusi geran daripada pihak MOTAC, WOC dapat mengembangkan bakat seni tempatan sedia ada.

“MOTAC bersama pihak Jabatan Kebudayaan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) banyak membantu dalam memberikan geran selain mempromosikan hasil seni tempatan kepada masyarakat luar.

“Kami berharap pameran ini akan menarik minat pelawat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi pemangkin kepada pertukaran idea antara Malaysia serta China,”ujarnya.

Sementara itu, Awang berkata, pameran tersebut berpotensi menjadi platform memperkukuh persefahaman dan persahabatan Malaysia-China dalam aspek sosioekonomi.

Menurutnya, usaha itu mampu mengeratkan lagi hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk teknologi.

“Galeri seni budaya seperti yang diusahakan oleh WCO dapat meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara, selain hubungan antara kerajaan.

“Hubungan diplomatik yang sudah terjalin ini perlu dipertahankan bagi memperkukuh sosiobudaya dan sektor ekonomi negara,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!