[VIDEO] JPNS mohon peruntukan kecemasan selenggara bumbung SMK Gadong
Rombongan itu diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan turut disertai Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort.
Hasil tinjauan, Arifin memaklumkan permohonan sebanyak RM500,000 akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk tujuan menyelenggara bumbung bangunan tersebut.
"Kita sudah melihat tempat yang perlu kita selesaikan masalahnya dan kita akan mengutamakan penyelenggaraan atap di bangunan ini.
"Sementara itu, Pengarah Pendidikan akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Ekonomi esok dan kita minta agar penyelenggaraan ini dilaksanakan dengan segera sebaik saja ada peruntukan iaitu kira-kira RM500,000," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan bangunan kelas Tingkatan Enam di SMK Gadong pada Selasa.
Menurutnya, pelaksanaan dijangka pada tahun ini selepas peruntukan diterima sebaik permohonan dilakukan oleh JPNS.
"Ini peruntukan segera, kalau istilahnya peruntukan kecemasan. Jadi kita perlukan peruntukan segera. Sebaik dikemukakan Pengarah, selepas itu kita tunggu dan kita laksanakan terus Insya-ALLAH tahun ini," jelas beliau lagi.
Sementara itu, Raisin berkata, walaupun terdapat peruntukan telah diturunkan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Untuk SMK Gadong seperti yang dinyatakan tadi JPNS akan kemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk tujuan penyelenggaraan bumbung bangunan ini.
"Kita dapati bangunan masih kukuh dan kita juga perlu sediakan pelan alternatif Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) agar kelas mereka terus berjalan," katanya.
Tegas beliau lagi, menjadi keutamaan JPNS untuk memastikan pelajar dapat belajar dengan baik menggunakan kemudahan kelas sedia ada.
"Hari ini kita melawat 42 pelajar Tingkatan Enam dan mereka telah melaksanakan PnP dengan baik. Kita juga sedang menunggu kemasukan pelajar Semester 1 yang dijangka masuk pada hujung bulan Jun ini di mana kelas mampu memuatkan sekitar 65 pelajar," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan ibu bapa di sekolah tersebut menyuarakan kebimbangan berikutan bangunan yang menempatkan kelas pelajar Tingkatan Enam dalam keadaan usang.
Tinjauan juga mendapati keadaan bumbung bangunan dua tingkat yang bocor selain ada beberapa kelas terpaksa dikosongkan kerana dinding dan siling mulai mereput akibat terkena hujan.
Lebih membimbangkan tempat bilik suis utama elektrik di tingkat bawah bangunan tersebut turut bocor dan air hujan akan mengalir sekali gus membahayakan pelajar serta guru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!