Sinar Harian terima Anugerah Khas Kesedar
KOTA BHARU - Sinar Harian menerima Anugerah Khas Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sempena Majlis Penghargaan Dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 Kesedar sekali gus menerima wang tunai sebanyak RM500.
Sinar Harian dipilih menerima anugerah itu berdasarkan laporan yang banyak memberi manfaat kepada komuniti Kesedar dan masyarakat di seluruh negeri khasnya.
Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan, Hazelen Liana Kamarudin mewakili Sinar Harian menerima anugerah yang disampaikan oleh Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman.
Hadir sama, Pengurus Besar Kesedar, W Muhd Rahimi W Salleh.
W Muhd Rahimi ketika berucap pada majlis itu berkata, pengamal media di negeri ini banyak memainkan peranan penting dalam pembangunan Kesedar.
Beliau memberitahu, Anugerah Khas Kesedar dan Sijil Penghargaan Kesedar sebagai menghargai warga media yang sedia memberi kerjasama dalam setiap program agensi berkenaan.
"Melalui hubungan erat antara media, kami mengambil peluang meraikan 15 agensi media di seluruh Kelantan sempena Majlis Penghargaan Dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 Kesedar kali ini," katanya.
Selain Sinar Harian yang terpilih bagi kategori media cetak, Media Prima Berhad turut menerima anugerah sama bagi kategori media elektronik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!