Lebuh raya dalam pembinaan jadi litar lumba haram
PASIR PUTEH - Lebuhraya Jalan Jerus-Kok Lanas, Lingkaran Tengah Utama (CSR) yang masih dalam pembinaan dekat sini menjadi 'hotspot' litar lumba haram dalam kalangan anak muda.
Laluan sepanjang tiga kilometer itu akan dipenuhi anak-anak muda lelaki sekitar jam 5.30 petang hingga 7.30 malam untuk menguji kelajuan motosikal masing-masing.
Penduduk, Abdul Latif Ismail, 56, berkata, setiap hari mereka akan 'dihidangkan' dengan bunyi bising yang berpunca daripada perlumbaan tersebut.
"Laluan itu pada awalnya tidak dibuka kepada orang ramai namun mereka mengambil tindakan mengalihkan penghadang konkrit.
"Sudah dua tahun perkara ini berlanjutan sehingga menyebabkan banyak kecederaan dilaporkan berlaku. Semalam (Isnin) merupakan kejadian pertama meragut nyawa setelah sekian lama," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Selasa.
Menurutnya, kebanyakan anak muda yang datang berlumba di sini datang dari jajahan sekitar seperti Kota Bharu, Machang dan sebagainya.
Dia berkata, pihak polis sentiasa mengadakan operasi namun selepas beberapa hari mereka ulang kembali, begitulah seterusnya.
Bagi seorang lagi penduduk, Mat Lazim Hasbullah, 52, pula memberitahu, ada segelintir penduduk yang geram dengan aktiviti tidak bermoral itu telah bertindak melastik anak-anak muda yang sedang berlumba.
"Namun ia tidak diendahkan. Selagi lebuh raya ini tidak siap sepenuhnya, selagi itulah mereka akan rancak berlumba.
"Kami di sini berharap projek pembinaan lebuh raya ini dapat disiapkan secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya dari masa ke masa membuat operasi membanteras lumba haram atau samseng jalanan di kawasan yang terlibat.
"Kami ingin nasihatkan ibu bapa supaya memainkan peranan dengan mengambil tahu serta memantau aktiviti anak-anak yang memiliki motosikal.
"Ibu bapa perlu tahu ke mana anak-anak pergi dan dengan siapa mereka berkawan bagi mengelakkan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral," katanya.
Menurut beliau, bagi anak muda yang memiliki motosikal perlu lengkap syarat, seperti lesen, topi keledar dan sebagainya.
Sinar Harian melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut dalam keadaan mengerikan apabila kaki kanannya terputus selepas terbabit kemalangan melibatkan tiga motosikal di Jalan Jerus-Kok Lanas (dalam pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama) di Banggol Saman pada Isnin.
Zaizul Rizal berkata, kemalangan kira-kira jam 7.40 petang itu berlaku ketika dua motosikal jenis Honda EX5 masing-masing ditunggang seorang lelaki berusia 18 tahun dan seorang lelaki berusia 21 tahun datang dari arah Kok Lanas menuju ke Kota Bharu.
“Setibanya di tempat kejadian, motosikal mereka dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan tersebut dan melanggar motosikal jenis Honda RS yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan menyebabkan kesemua mereka terjatuh di atas jalan terbabit.
"Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang motosikal Honda EX5 mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Machang dan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!