'Kerajaan perlu bertanggungjawab jadikan Kampung Sungai Baru setinggan' - Khalid Samad

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan didakwa menjadi pemain utama dan terlibat secara terus dalam permasalahan dihadapi lebih 100 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru di ibu negara.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sehubungan itu berkata, pihak kerajaan perlu bertanggungjawab dan tidak boleh mengambil sikap 'lepas tangan'.

Menurutnya, dengan menggunakan Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960 ia telah melemahkan kedudukan pemilik kerana pemilik tidak lagi boleh untuk mengadakan sebarang rundingan.

"Ini termasuk berunding soal harga (tanah), soal harga ini juga tidak boleh dirunding dengan pemaju sebab ia akan ditetapkan oleh Jabatan Penilaian (Dan Pengurusan Harta - Kuala Lumpur).

"Dalam kes ini jelas jabatan terbabit telah melakukan satu kesilapan dengan meletakkan nilai yang begitu rendah.

"Perkara ini kita telah maklumkan termasuk kepada Menteri (di Jabatan Perdana Menteri) Wilayah Persekutuan (Dr Zaliha Mustafa) baru-baru ini dan oleh kerana itu kerajaan tidak boleh 'cuci tangan' selepas mengambil tanah tersebut," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan pemilik hartanah Kampung Sungai Baru di Dewan Kawasan Rukun Tetangga Kampung Sungai Bari di Kampung Baru di sini.

Pada 6 Jun lalu, Dr Zaliha dilaporkan berkata, kerajaan bersedia berbincang mengenai permasalahan dihadapi lebih 100 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur berkenaan penilaian hartanah mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berkata, ia tertakluk kepada beberapa prosedur yang perlu dipatuhi dan semua pihak harus faham bahawa penilaian dibuat berdasarkan nilai tanah di kawasan itu sebelum sebarang pampasan diberikan.

Tambahnya, penduduk yang rasa ini tidak mencukupi, mereka boleh terus untuk melihat semakan mahkamah bagi melihat dan menilai kembali perkara tersebut.

Mengulas lanjut Khalid berkata, penduduk yang masih lagi menetap di atas hartanah Kampung Sungai Baru secara tidak langsung kini telah dikategorikan sebagai menetap di kawasan setinggan.

"Sebab itu, kerajaan perlu menentukan bahawa mereka mendapat pampasan adil dan dalam proses itu kerajaan kena bertanggungjawab dan pemilik (perlu) dilayani dengan baik serta tidak diusir.

"Mereka bukan tinggal di kawasan setinggan tetapi pihak terlibat yang menjadikan kawasan itu sebagai setinggan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!