Dua maut keracunan: Kerajaan Selangor jalankan siasatan terperinci
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan akan melaksanakan siasatan terperinci berhubung kematian disyaki akibat keracunan makanan di Gombak.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah mengarahkan bantuan segera diberikan kepada keluarga mangsa yang terlibat.
“Pelajar berkenaan merupakan pelajar sebuah sekolah di daerah Gombak.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan sedang melaksanakan siasatan terperinci,” katanya di Facebook.
Amirudin dalam pada itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga terlibat.
Terdahulu, media melaporkan seorang budak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng dibawa pulang dari sebuah sekolah kelolaan JAIS.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir dilaporkan. berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu semalam.
Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan dibawa pulang ibunya daripada satu program di sekolah itu dengan kedua-dua mereka bersama bapa remaja berkenaan mengalami cirit-birit selepas memakan makanan itu kelmarin.
Pada jam 1.30 tengah hari semalam, remaja berkenaan dilaporkan mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Mangsa kedua anak kepada pengawal keselamatan bertugas di sekolah berkenaan yang mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit pada jam 10.45 malam kelmarin lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Menurut Noor Ariffin, mayat kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan polis setakat ini mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!