KPT teliti keseimbangan jumlah jam mengajar

Zamry (tiga kanan) ketika hadir pada program berkenaan pada Selasa.
Zamry (tiga kanan) ketika hadir pada program berkenaan pada Selasa.
A
A
A

NILAI - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti keperluan keseimbangan jumlah jam mengajar dalam kalangan pensyarah universiti di negara ini bersesuaian dengan tanggungjawab lain yang perlu mereka laksanakan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ketika ini purata jumlah jam mengajar di universiti sekitar 18 jam seminggu.

"Kalau kita lihat universiti ada pelbagai peringkat, ada yang memegang jawatan biasanya mereka tidak mengajar sampai 18 jam dan ia bergantung kepada kursus serta jumlah pelajar dan ini agak berbeza beza.

"Bagaimanapun kita akan lihat dengan teliti akan keperluan ini, pada masa sama kita juga mahu kegiatan mereka dalam membuat penulisan dan kajian dapat dilakukan sebaiknya. Maksudnya mesti ada keseimbangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Kepimpinan Muda Kebangsaan KARISMA: Pemikir Madani di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang disertai 118 pensyarah dari pelbagai universiti pada Selasa.

Mengulas mengenai sesi libat urus itu, Zambry berkata, pihaknya meraikan pandangan dan cadangan daripada pensyarah muda ini susulan mereka juga mempunyai idea yang bernas.

"Hari ini saya mendapat pelbagai pandangan dan nasihat daripada mereka, saya menganggap pandangan mereka itu sangat kontraktif dalam usaha kita memperbaiki...mungkin ada kekurangan dalam pelaksanaan agenda pendidikan tinggi negara.

"Ia termasuklah syor mengenai latihan dan menyediakan kursus dalam menghadapi serta menguasai pendidikan baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI) untuk dimanfaatkan para pensyarah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua warga pendidik perlu menggunakan kepakaran seiring dengan pembangunan digital supaya dapat diterjemahkan kepada masyarakat dan pembangunan negara ini.

Zambry turut menyifatkan sesi libat urus bersama warga pendidik itu adalah platform terbaik dalam menyuarakan pandangan serta cadangan yang bernas demi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!