[VIDEO] MITA rayu pertimbang subsidi diesel kepada bas persiaran

A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) merayu kerajaan mempertimbangkan untuk memperluaskan subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran.

Presidennya, Leong Hoon Min berkata, kenaikan RM1.20 per liter terlalu membebankan pengusaha bas persiaran sekali gus memberi kesan kepada pakej pelancongan.

"Keputusan kerajaan yang tidak memanjangkan subsidi diesel ini telah memberi kejutan dan kesan negatif kepada pengusaha bas persiaran," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), di sini pada Selasa.

Hoon Min menyerahkan surat kepada King Sing yang diwakili oleh Mohd Yusri.
Hoon Min menyerahkan surat kepada King Sing yang diwakili oleh Mohd Yusri.

Menurutnya, pelaksanaan subsidi diesel kepada bas korporat akan mewujudkan persaingan tidak sihat di dalam industri dengan wujudnya jurang perbezaan harga antara bas persiaran.

"Kerajaan perlu berlaku adil bagi mewujudkan persaingan sihat dalam industri yang mana subsidi dieseil dinikmati oleh pengusaha bas persiaran di Sabah dan Sarawak perlu dipanjangkan ke Semenanjung," ujar beliau.

Terdahulu, Hoon Min bersama 20 pengusaha bas persiaran hadir untuk menyerahkan surat rayuan kepada Menteri MOTAC Datuk Seri Tiong King Sing yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel bermula 10 Jun sebagai langkah pembaharuan utama di bawah rangka kerja Ekonomi Madani.

Artikel Berkaitan:

Harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia diapungkan dan mengikut harga pasaran pada masa ini adalah RM3.35 seliter.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilapor berkata, untuk tempoh seterusnya harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan, dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.

Penyasaran itu hanya melibatkan Semenanjung dan tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Presiden Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia Chong Sin Wah berkata, kenaikan harga diesel yang terlalu besar iaitu 56 peratus dalam masa kurang dua hari tidak dapat diterima oleh agensi pelancongan luar negeri.

"Mereka tidak sempat menaikkan harga jualan pakej pelancongan ke Malaysia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!