Ekonomi Malaysia masih terperangkap

Noor Azlan
Noor Azlan
A
A
A

BANGI - Malaysia masih terperangkap dengan struktur, polisi dan institusi yang berbentuk legasi sehingga menyebabkan ekonomi negara berdepan cabaran untuk melonjak ke depan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA- UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, polisi yang dibuat misalnya, mungkin berjaya pada tahun 1970-an hingga 1990-an, namun tidak lagi relevan untuk masa kini.

Justeru, beliau mengemukakan empat saranan yang harus diberikan tumpuan kerajaan dalam mengatasi masalah berkenaan iaitu enjin ekonomi, modal insan, persekitaran kondusif dan tatacara kerajaan.

“Kemestian pertama yang perlu diberikan penekanan ialah enjin ekonomi mesti lebih canggih. Ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Kedua, modal insan kita mesti hebat dalam semua peringkat.

“Kerajaan juga perlu memastikan persekitaran ekonomi perniagaan, daya saing dan infrastruktur mesti hebat. Selain itu, jentera kerajaan mesti lebih cekap dan memudahkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Syarahan Perdana Profesor yang berlangsung di UKM, di sini pada Selasa.

Tunku Ali Redhauddin (tiga dari kiri) menerima buku Syarahan Perdana Profesor nukilan Noor Azlan.
Tunku Ali Redhauddin (tiga dari kiri) menerima buku Syarahan Perdana Profesor nukilan Noor Azlan.

Program itu turut dihadiri Pro-Canselor UKM, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak dan Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Tambah Noor Azlan, dalam melakar masa depan ekonomi dengan landskap global baharu, empat penekanan yang dianggap sebagai misi sejagat dan khusus untuk Malaysia laksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Pertamanya, matlamat pembangunan mapan (SDG) contohnya daripada segi keterangkuman. Malaysia ada negeri maju dan kurang maju, itu kita kena hadapi bersama.

“Kedua, daripada segi kedudukan fiskal. Kita tak boleh menjadi negara yang sentiasa berhutang banyak. Berhutang tak salah tapi kalau berhutang sehingga menggugat dalam konteks pembangunan, itu salah.

“Seterusnya, berkenaan dengan integriti. PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sering tekankan isu rasuah dan tatakelola. Bagi saya, kena bersihkan, hapuskan rasuah serta tingkatkan tatakelola tetapi mesti serentak dengan polisi dan pembangunan pertumbuhan ekonomi,” ujar beliau.

Beliau juga menekankan tentang pentingnya kestabilan politik.

“Saya bukan pakar politik tapi cukup untuk mengatakan bahawa perubahan yang terlalu kerap, keutamaan kesinambungan dasar yang berubah-ubah berkemungkinan mengehadkan potensi pertumbuhan negara kita.

“Malaysia juga perlu ada kejelasan, apa yang nak dibuat dan hala tuju supaya kita tak berubah.

“Apa yang baik ialah Malaysia mengiktiraf dan mengenal pasti perangkap-perangkap ini adalah masalah kita. Cuma yang menjadi cabaran ialah kelewatan dalam mengenal pasti, membuat keputusan dan melaksanakannya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!