Bot tunda, tongkang dari Singapura ditahan tiada kebenaran bersauh
MERSING - Sebuah bot tunda dan tongkang dari Singapura ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing kerana tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pagi Selasa.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot tunda itu ditahan pasukan peronda yang sedang melaksanakan Op Jaksa dan Op Tiris di kedudukan 3.5 batu nautika barat Pulau Harimau pada jam 11 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua jentera daripada Singapura itu disyaki telah melakukan kesalahan kerana tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
"Pemeriksaan ke atas dokumen pula mendapati, kesemua tujuh kru daripada kedua-dua bot tersebut merupakan warga Indonesia berumur dalam lingkungan 25 hingga 54 tahun termasuk nakhoda," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, nakhoda dan ketua jurutera dibawa ke jeti Maritim Mersing untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
"Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!