Budak maut didera baru dua bulan tinggal dengan ibu, bapa angkat
IPOH - Kanak- kanak perempuan berusia lima tahun yang maut disyaki didera dipercayai baru dua bulan tinggal bersama ibu dan bapa angkatnya di Taman Malcop dekat Silibin.
Jiran, Mohd Zezeli Abdul Latif, 58, berkata, sepanjang tempoh bermula April lalu, dia dan isterinya sering terdengar jeritan dan tangisan mangsa akibat dimarah.
"Saya hanya tahu mereka duduk berdua hinggalah dua bulan lepas kami terdengar suara budak kecil.
"Sepanjang tempoh itu, sesekali saya dengar lelaki tinggi suara marahkan mangsa ketika mengajar mengira dan sebagainya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurutnya, keluarga berkenaan disifatkan pendiam dan tidak ramah dengan jiran tetangga.
"Lelaki ini sudah lama tinggal di sini sejak 10 tahun lalu dan dalam tempoh itu dia tidak pernah bersapa. Lihatlah dinding garaj pun dipasang tinggi.
"Tetapi jiran ada beritahu yang dia terserempak dengan budak itu malam pada Ahad ketika buang sampah. Mereka beritahu mangsa sangat comel," katanya.
Media melaporkan sepasang suami isteri ditahan polis pada Isnin susulan kematian anak angkat mereka yang mempunyai kesan lebam di seluruh anggota badan disyaki dipukul.
Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan pelbagai kecederaan akibat objek tumpul selain terdapat kesan luka koyak dan lebam pada vagina dan dubur mangsa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!