Suspek boleh dilepaskan, jika kertas siasatan tidak lengkap - Peguam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam yang mewakili ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin memberitahu bahawa, mana-mana suspek atau orang yang disyaki (OYDS) boleh dilepaskan dengan jaminan polis, sekiranya kertas siasatan kes didapati tidak lengkap.

Peguam, Fahmi Abd Moin berkata, susulan itu, pihak polis perlu menyempurnakan kertas siasatan sebelum berakhirnya tarikh reman.

Menyentuh kes membabitkan anak guamnya yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh Zayn Rayyan, 6, beliau berkata, perkara sama perlu dilakukan sebelum ia dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk ditaklimat, membabitkan semakan atau keputusan siasatan bagi arahan seterusnya dilaksana.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika pihak pendakwaan mendapati ada bukti kukuh, suspek itu akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

"Pertuduhan boleh dibuat bergantung kepada arahan AGC, sama ada pada hari yang sama tarikh akhir reman atau keesokannya.

"Jadi saya akan bersiap sedia di mahkamah esok, sekiranya pasangan suami isteri tersebut dibawa untuk dipertuduhkan atau dibebaskan," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, usaha untuk bertemu dan berbincang dengan dua anak guamnya belum membuahkan hasil.

Kali terakhir mereka berjumpa katanya, ialah pada prosiding sambung reman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!