PKNS bakal bina pusat pameran perniagaan bertaraf antarabangsa di Shah Alam

Mahmud (lima dari kanan) semasa Majlis Pelancaran Selangor International Race (SIR) 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Selasa.
Mahmud (lima dari kanan) semasa Majlis Pelancaran Selangor International Race (SIR) 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal membina sebuah pusat pameran perniagaan bertaraf antarabangsa di kawasan 'Segi Tiga Emas Shah Alam' di Seksyen 14 di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, selama ini pameran besar melibatkan agensi kerajaan negeri hanya boleh diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang mempunyai prasarana lebih lengkap.

Mahmud Abbas
Mahmud Abbas

Sehubungan itu beliau berkata, PKNS mengambil keputusan untuk membina pusat pameran seumpama itu di Daerah Pusat Perniagaan di Bandaraya Shah Alam.

"Kita juga maklum kalau hendak mewujudkan kawasan sedemikian selain pejabat kita juga kena ada pusat pameran.

"Sebab dulu kita rancang untuk membina Daerah Pusat Perniagaan sedemikian di Cyberjaya tetapi kita ada perubahan perancangan dan kita buat di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Selangor International Race (SIR) 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam di Seksyen 14, di sini pada Selasa.

Pada 18 Mac lalu, PKNS dalam satu kenyataan berkata, perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Seksyen 14 adalah sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion tersebut akan membabitkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Mahmud berkata, di bahagian tingkat bawah bangunan pusat pameran yang digambarkan seperti di KLCC tersebut, pihaknya bercadang untuk menempatkan galeri yang akan memaparkan sejarah negeri Selangor.

Ujarnya lagi, sejarah tersebut adalah berkisar tentang peranan kerabat diraja negeri ini dalam merealisasikan kewujudan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikatakan tidak mempunyai mercu tanda peristiwa yang boleh dirujuk oleh mana-mana pihak.

Mengulas lanjut mengenai pembinaan pusat pameran berkapasiti besar tersebut, Mahmud berkata kos keseluruhan yang terlibat adalah sebanyak RM2 bilion.

"Kos RM2 bilion tersebut bukan semua datang dari PKNS (untuk pembinaan pusat pameran) tetapi ia termasuk kos keseluruhan termasuk pengambilan Plaza Perangsang, naik taraf, pembinaan kondominium dan kos membuat jalan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!