Keracunan makanan: Polis panggil pengusaha katering, penganjur

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kanan: Hussein
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kanan: Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Polis akan memanggil pengusaha katering, guru dan penganjur program di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Sungai Chincin, Gombak untuk siasatan kes dua kematian akibat keracunan makanan selepas memakan bihun dan telur goreng.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka ini akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Mengenai berapa ramai yang akan dipanggil ia bergantung siasatan.

"Polis akan menyiasat semua pihak berkaitan dan saya juga difahamkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah arah untuk penutupan kantin sekolah terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.

Beliau berkata, setakat ini semakan pihak polis dengan pihak hospital mendapati tiada dilaporkan datang akibat keracunan.

Katanya, ada yang mengadu sakit tetapi ia tidak serius.

"Setakat ini mangsa yang maut melibatkan lelaki berusia 17 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun," ujarnya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan pihak perkhidmatan makanan menghentikan bekalan yang disyaki menjadi punca keracunan makanan pada program sekolah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kes pertama melibatkan remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun telah memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya selepas menghadiri program di sekolah berkenaan pada Sabtu.

Mangsa kemudian dilapor mengalami cirit-birit dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 1.30 petang, pada Isnin, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.

Kes kedua, bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan telah membawa balik makanan selepas selesai program sekolah pada Sabtu.

Kanak-kanak itu kemudian demam, muntah dan cirit birit pada Isnin, sebelum dibawa ibunya ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil dengan menghubungi Ketua Polis Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad di talian 014-2389151 atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor R Khalpna di talian 012-5018901.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!