Johor mohon 30 peratus cukai negeri dikembalikan - Onn Hafiz

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memohon agar sekurang-kurangnya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, permohonan yang dibuat sejajar dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, baru-baru ini.

"Selari dengan dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor, baru-baru ini, kerajaan Johor telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar sekurang-kurangnya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada Johor.

"Perkara ini penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk segala pembangunan negeri ke tahap yang lebih baik," katanya dalam muat naik di laman Facebooknya pada Selasa.

Menurut Onn Hafiz, permohonan terbabit telah dibuat semasa sesi terima mengadap Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican, pada Selasa.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Datuk Shahrol Anuwar Sarman.

"Antara perkara lain yang dibincangkan adalah mengenai cadangan membina persimpangan bertingkat baharu di Link Kedua, projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sungai Sedili Besar dan program pemuliharaan Sungai Skudai di daerah Kulai dan Johor Bahru.

"Turut dibincangkan adalah projek khas berimpak tinggi negeri Johor iaitu cadangan pembangunan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) bagi sistem pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia dan cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) dari Mersing - Kota Tinggi - Johor Bahru," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!