Polis minta bantuan kesan pelajar lelaki hilang

Polis meminta bantuan orang ramai kesan Muhammad Danish Darwish Dasuki
Polis meminta bantuan orang ramai kesan Muhammad Danish Darwish Dasuki
A
A
A

REMBAU - Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang hilang dipercayai melarikan diri dalam kejadian di sebuah asrama sekolah dekat sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kehilangan Muhammad Danish Darwish Dasuki Muhammad Addam disedari warden kira-kira jam 11 malam selepas mendapati pelajar terbabit tiada semasa sesi panggil nama pelajar asrama.

"Bagaimanapun, rakannya memaklumkan pelajar Tingkatan Satu itu masih ada semasa waktu pembelajaran malam di bilik belajar pada jam 10 malam.

"Usaha mencarinya telah dilakukan di sekitar kawasan sekolah tetapi tidak ditemui dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada bapanya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, susulan itu bapanya telah membuat laporan polis pada Isnin kerana bimbang keselamatan anaknya itu selepas usaha mencarinya sekitar Rembau gagal ditemui sehingga kini.

"Kali terakhir dia dilihat memakai baju Melayu berwarna hijau tua dan berseluar hitam. Muhammad Danish Darwish berketinggian lebih kurang 155 sentimeter, rambut lurus, terdapat kesan parut jahitan di bahagian kiri atas dahi, berbadan agak gempal dan kulit sawo matang.

"Setakat ini punca pelajar itu keluar dari asrama masih dalam siasatan dan berdasarkan siasatan awal, sepanjang dia berada di asrama dan belajar di sekolah tersebut, dia tidak mengadu apa-apa masalah kepada keluarganya," katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat atau terjumpa dengan remaja tersebut diminta tampil ke balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!